Dulu Derby County, kini DC United

Rooney
Rooney
A
A
A

BEKAS penyerang Manchester United dan England, Wayne Rooney dilantik pengendali DC United, umum kelab Liga Bolasepak Utama (MLS) tersebut.

"Wayne merupakan seorang legenda bola sepak dan antara pengurus baharu paling menarik dan dinamik dalam sukan kami.

"Dia mempunyai pemahaman mengenai liga kami dan apa yang diperlukan untuk berjaya dalam Major League Soccer, terima kasih untuk tempoh dua tahun bersama kami sebagai pemain sebelum ini," kata Jason Levien dan Steve Kaplan, pengerusi bersama DC United.

Pemain berusia 36 tahun itu, pernah menggalas cabaran bersama DC United dari 2018 hingga 2019, meletak jawatan sebagai pengurus Derby County bulan lalu selepas tempoh bergelora selama 17 bulan menyaksikan kelab Inggeris tersebut dicemari masalah kewangan dan diturunkan ke Divisyen Satu.

Sementara itu, pengendali sementara DC United, Chad Ashton akan kekal bertanggungjawab ke atas Black and Red sehingga Rooney menerima visa kerjanya dengan kakitangan kejurulatihannya akan diumumkan kemudian.

Untuk rekod, Rooney dilantik sebagai pengurus sepenuh masa di Derby pada Januari 2021 selepas kejayaannya sebagai pengurus sementara dan pemain pada musim sebelum itu menyaksikan dia mengemudi kelab Liga Kejuaraan keluar dari zon penyingkiran.

Rooney yang meletak jawatan bulan lalu berharap Derby akan dipimpin individu yang bertenaga dan tidak terjejas dengan peristiwa yang berlaku sejak 18 bulan lalu.

"Sejujurnya Wayne bermentaliti pemenang dan pesaing. Etika kerjanya dan apa yang dia tuntut daripada dirinya dan pemainnya tiada duanya..." kata Presiden Operasi Bolasepak DC United, Dave Kasper.

Sepanjang karier sebagai pemain Rooney telah menjaringkan 253 gol untuk Manchester United dan memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara bersama kelab itu.

Malah bekas bintang The Three Lions dari Croxteth, Liverpool itu juga merupakan penjaring rekod pasukan England dengan 53 gol.

DC United kini berada di kedudukan kedua tercorot Liga Konferensi Timur dengan 17 mata selepas mengharungi 17 perlawanan.

Perlawanan terakhir sebelum ini menyaksikan DC United dibelasah Philadelphia Union 0-7.

DC United akan melayan kunjungan Columbus Crew di Stadium Audi Field pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!