Arab Saudi puji Malaysia kendali jemaah haji
PUTRAJAYA - Arab Saudi memuji cara Malaysia menerusi Tabung Haji (TH) mengendalikan jemaah haji 1443H/2022M.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad selepas bertemu dengan Setiausaha Agung Rabitah Al-'Alam Al-Islami (Rabitah), Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Alissa menerusi laman Facebooknya pada Rabu.
Menurutnya, pada pertemuan itu, Mohammad turut menyatakan penghargaan kepada Malaysia di atas penganjuran Persidangan Ulama' Asia Tenggara pada Jun lalu.
"Saya juga mengucapkan jutaan penghargaan khusus kepada kerajaan Arab Saudi dan Rabitah atas kerjasama erat bersama Malaysia," katanya.
Dalam perbincangan itu, beliau turut memberi pandangan agar Rabitah terus memainkan peranan dalam pengukuhan kefahaman umat Islam dalam mendepani ancaman pemikiran liberal, ajaran sesat dan sebagainya.
"Di peringkat global juga, saya mencadangkan Rabitah terus berperanan memberikan penerangan berkaitan keindahan ajaran Islam yang sebenar kepada negara-negara barat bagi memperbetulkan salah faham dan juga Islamophobia," katanya.
Idris berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan Mohammad adalah pada Persidangan Ulama' Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada 30 Jun lalu.
"Semoga dengan pertemuan ini dapat memberi manfaat kepada umat terutama buat umat Islam di Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!