Presiden Sri Lanka lari ke Maldives

Gotabalaya Rajapaksa - Foto Getty Images
Gotabalaya Rajapaksa - Foto Getty Images
A
A
A

COLOMBO - Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa telah meninggalkan negara itu dengan menggunakan sebuah jet tentera, lapor badan penyiaran BBC, pada awal Rabu.

Beliau yang berusia 73 tahun itu tiba di ibu negara Maldives, Male bersama isteri dan seorang pengawal peribadinya.

Menurut sumber imigresen, mereka dilaporkan berada di dalam pesawat tentera Antonov-32 yang berlepas dari sebuah lapangan terbang antarabangsa utama di negara berkenaan menuju ke Maldives,

Gotabaya melarikan diri dan bersembunyi selepas puluhan ribu penunjuk perasaan menyerbu kediamannya di Colombo pada Sabtu lalu akibat krisis ekonomi.

Presiden itu sebelum ini berjanji meletakkan jawatan pada Rabu.

“Pasport mereka dicop dan mereka menaiki penerbangan khas tentera udara,” kata seorang pegawai imigresen yang terlibat dalam proses itu kepada AFP.

Setibanya di Maldives, mereka dibawa ke lokasi yang tidak didedahkan dengan diiringi polis, kata seorang pegawai lapangan terbang di Male.

Pada mulanya, pihak kawalan trafik udara tempatan menolak permintaan pesawat yang membawa Gotabaya untuk mendarat sehingga ia kemudian mendapat campur tangan daripada Speaker Majlis Parlimen Maldives dan bekas Presiden negara tersebut, Mohamed Nasheed, menurut pegawai tinggi keselamatan Sri Lanka. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!