Giat kempen kesedaran, elak terpedaya tawaran murah tunai haji

Kempen kesedaran secara berterusan perlu diberikan kepada bakal jemaah haji agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran murah untuk mengerjakan haji. Gambar Kecil: Fathir Badri
Kempen kesedaran secara berterusan perlu diberikan kepada bakal jemaah haji agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran murah untuk mengerjakan haji. Gambar Kecil: Fathir Badri
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen kesedaran secara berterusan perlu diberikan kepada bakal jemaah haji agar masing-masing tidak mudah terpedaya dengan tawaran murah untuk mengerjakan haji menggunakan visa mujamallah mahupun furada.

Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA), Dr Fathir Badri Alhadad berkata, pihaknya mengambil maklum isu berhubung penipuan pakej haji oleh agensi pelancongan baru-baru ini.

Menurutnya, visa furada sememangnya tidak dikeluarkan oleh pihak kedutaan Arab Saudi pada tahun ini kerana mereka hanya mengeluarkan visa haji mujamallah untuk Malaysia.

“Ini bermaksud, agensi pelancongan yang mendapat visa mujamallah ini perlu mengeluarkan belanja yang lebih kerana mereka perlu mendapatkan pakej ‘ground’ melalui aplikasi yang disediakan oleh Kementerian Haji Arab Saudi.

“Pakej ini adalah wajib diambil walaupun pihak agensi pelancongan telah mempunyai pakej 'ground' mereka sendiri sebelum ini.

“Pihak Kedutaan Arab Saudi juga telah menghadkan pengeluaran visa mujamallah ini pada tahun ini kerana seperti kita semua sedia maklum, Arab Saudi perlu berhati-hati untuk mengelakkan penularan wabak Covid19 semasa musim haji tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut katanya, SAFTTA turut senada dengan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) yang memberi idea mengulang ganti kelulusan perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) setiap dua tahun sekali bertujuan mengekang amalan kartel tabung haji (TH).

“Apa yang mungkin dimaksudkan kartel haji ini adalah ada beberapa agensi pelancongan yang dilihat tidak pernah ditukar semenjak PJH ini diperkenalkan.

“Persoalannya di sini adakah hanya 22 syarikat tersebut sahaja yang mempunyai kelayakan untuk menyantuni Jemaah haji? Dan daripada 22 syarikat PJH ini berapa pula agaknya agensi pelancongan yang dimiliki oleh agensi kerajaan (GLC)?” soal beliau.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pihak TH mengadakan perbincangan secara jujur dan terbuka bersama persatuan-persatuan pelancongan untuk memberikan pandangan bagi membantu mereka menambah balik fungsi TH itu sendiri.

“Perlu diingat sekarang bukanlah masanya ‘kerajaan yang tahu segalanya’ atau ‘government knows best’ seperti dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fathir Badri berkata, SAFTTA juga setuju dengan kenyataan Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) yang menyatakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) tidak boleh dipersalahkan dalam isu haji tersebut.

Beliau berkata, ia berikutan kerana jelas di bawah Akta Tabung Haji yang mana tidak meletakkan MOTAC sebagai kementerian yang bertanggungjawab, sebaliknya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu memikul tanggungjawab tersebut dengan sebaiknya.

“Apa yang lebih penting pada masa ini adalah tidak menyalahkan antara satu sama lain, perlu ada kesepakatan dalam menjalankan amanah yang telah diberikan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!