UiTM sedia menu makanan serendah RM3.50 untuk pelajar semua kampus
SHAH ALAM - Kesemua 35 kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) menawarkan menu makanan kepada pelajar serendah RM3.50 sejak 8 Julai lepas, untuk pelaksanaan inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia bagi meringankan kos perbelanjaan penuntut universiti.
Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, universiti itu mempunyai lebih 400 penggerai di seluruh kampusnya dan hampir kesemua mereka menyatakan kesanggupan untuk menyediakan menu berharga RM3.50 dengan syarat ia adalah menu khas, manakala pilihan menu lain masih boleh ditawarkan.
"Jadi untuk menu lain kita akan kekalkan iaitu bagi mereka yang ada duit lebih boleh beli, itu yang ditetapkan dan setiap gerai kita cadangkan untuk disediakan menu daripada inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia ini,” katanya kepada media selepas majlis penanaman pokok bagi program ‘Tree4Future’ di sini pada Rabu.
Roziah berkata, pada Jumaat lepas, beliau melihat masih ada penggerai yang menawarkan menu berharga RM6, namun pihaknya akan terus memantau supaya menu RM3.50 ditawarkan dengan 14 pilihan makanan berkhasiat dan berkualiti.
"Bila ditanya pelajar mereka nyatakan harga itu (RM6) tidaklah mahal, jadi saya rasa kemungkinan kerana yuran pengajian UiTM adalah murah berbanding universiti lain,” katanya.
Pada 4 Julai lepas, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 bagi setiap hidangan akan diperkenalkan menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.
Sebelum itu Roziah berkata, ‘Tree4Future’ adalah satu inisiatif penanaman pokok bagi meningkatkan kehijauan kawasan di dalam kampus induknya seiring dengan misi untuk mencapai status Kampus Lestari (Kampus Hijau) menjelang 2025.
Beliau berkata, inisiatif tersebut turut dijayakan oleh pihak Kedutaan Azerbaijan, yang pada masa sama bertujuan mempromosikan Bandar Susha sebagai pusat kebudayaan Azerbaijan yang dibina pada abad ke-18 dan meraikan ulang tahun ke-270 Kota Susha (1752-2022).
Hadir sama pada majlis penanaman 15 batang pokok termasuk spesies Merbau, Delima dan Penaga Lilin itu adalah Timbalan Menteri Luar Azerbaijan Elnur Mammadov dan Duta Azerbaijan ke Malaysia Irfan Davudov. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!