PRU15: Sasaran UMNO Johor tanding 17 kerusi Parlimen realistik
JOHOR BAHRU - Sasaran UMNO Johor untuk bertanding di 17 Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti adalah realistik kerana diyakini mampu memperoleh kemenangan berdasarkan perkembangan terkini parti itu di negeri ini.
Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata, hasrat itu yang dizahirkan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad amat bertepatan dengan kedudukan serta persekitaran siasah politik UMNO Johor pada masa ini.
Menurutnya, kestabilan dan solidariti yang konstruktif dalam bahagian-bahagian UMNO Johor pada masa kini dilihat sangat kukuh untuk membolehkan UMNO bukan sahaja bertanding di 17 kawasan Parlimen yang dihasratkan.
"Malah pada pandangan saya boleh memastikan kemenangan calon UMNO dan seterusnya kejayaan Barisan Nasional (BN).
"Sejak empat tahun yang lalu, UMNO Johor telah secara jelasnya bermuhasabah dalam membina kembali keyakinan parti dan juga ahlinya seterusnya masyarakat umum setelah mengalami kekalahan pada PRU14 pada 2018," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Isnin, media melaporkan Hasni menyatakan hasrat UMNO Johor bertanding di 17 kawasan Parlimen pada PRU15 di negeri tersebut termasuk merebut semula kerusi Parlimen Simpang Renggam.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, di Parlimen Simpang Renggam umpamanya, kepimpinan UMNO dan BN sejak 2018 telah mengambil pelbagai langkah konstruktif dalam meletakkan kembali gabungan itu dalam jiwa dan sanubari rakyat Simpang Renggam.
Tambah beliau, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 yang lalu, UMNO berjaya memenangi dengan cemerlang di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi iaitu di Machap dan Layang-Layang.
Beliau mendakwa, dua kerusi DUN dalam Parlimen Simpang Renggam yang dimenangi itu merupakan bukti penerimaan rakyat terhadap parti tersebut di sebalik pelbagai skeptikal negatif berkenaan kemampuan UMNO untuk menang sebelum ini.
"Kejayaan di dua DUN ini umpama dusun atau tanaman yang dituai setelah disemai dan dibaja dengan baik berkat semangat kerjasama serta musyawarah yang dibina dalam kalangan kepimpinan UMNO dan BN Simpang Renggam setelah dilanda 'ribut' pada Mei 2018," katanya.
Atas prinsip yang sama juga beliau percaya, calon UMNO Simpang Renggam mampu untuk memastikan kemenangan milik BN sekiranya diberi peluang untuk bertanding pada PRU15 akan datang.
"Nilai kesefahaman, solidariti dan kesepaduan yang wujud dalam kalangan kepimpinan UMNO dan BN di semua peringkat di Simpang Renggam adalah 'ramuan' yang sangat jitu dalam memastikan kemenangan UMNO di Parlimen Simpang Renggam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!