Persaraan bukan titik noktah: MB Negeri Sembilan
SEREMBAN - Pesara kerajaan digalakkan terus memberi sumbangan bakti dan idea untuk bersama-sama membantu meningkatkan kemajuan masyarakat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, pengalaman luas dalam sektor awam bagi tempoh yang lama adalah sangat berharga dan sewajarnya dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat.
“Persaraan bukan suatu titik noktah, sebaliknya ia harus dianggap sebagai permulaan untuk perubahan, oleh itu saya menggesa semua pesara kerajaan dapat berganding bahu dengan kerajaan untuk membangunkan dan memajukan negeri ini.
“Semua pesara kerajaan digalakkan supaya terus menawarkan perkhidmatan bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah kepada institusi tertentu dalam membantu meningkatkan mutu kerja dan produktiviti.
“Sesungguhnya pengalaman luas yang mereka miliki itu sangat berharga dan seharusnya dapat dikongsikan dengan orang lain untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Minum Petang Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Cawangan Seremban di Dewan MPS, di sini.
Dalam pada itu, Aminuddin turut mencadangkan kepada persatuan supaya dapat merangka lebih banyak aktiviti untuk kepentingan ahli dan masyarakat.
Beliau percaya bahawa pembabitan pesara dalam aktiviti kesukarelawan dan kemasyarakatan akan dapat mewujudkan modal insan yang baik dan progresif.
“Saya ucapkan syabas kepada persatuan ini yang sentiasa bergerak aktif untuk membantu ahli.
“Saya harap usaha itu dapat diteruskan dengan memberikan sokongan padu kepada kerajaan sedia ada, bagi kita sama-sama menjayakan aspirasi negeri dan rakyat berlandaskan dasar bersih dan muafakat ke arah mencapai kemakmuran serta keharmonian,” katanya.
Tambahnya, kerjasama semua pihak diyakini dapat membantu dalam membangunkan Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri maju dan berdaya saing pada masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!