Rompakan bersenjata, pekerja kilang dijel 7 tahun
KOTA BHARU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku salah melakukan rompakan bersenjata parang bersama seorang rakan yang kini sudah meninggal dunia.
Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Izulhelmie Ismail, 22.
Mengikut pertuduhan, pekerja kilang di Johor itu didakwa bersama rakannya melakukan rompakan bersenjatakan parang terhadap Syed Abdullah Syed Ali Alsagoff, 48, dengan mengambil telefon bimbit berjenama Iphone dan Oppo bernilai RM4,000 di sebuah kedai makan bersebelahan stesen minyak di lebuh raya Machang pada jam 8 malam, 31 Januari tahun lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin.
Difahamkan, rakan tertuduh ditembak mati oleh polis dalam satu kejadian berbalas tembakan, tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!