[VIDEO] Teman lelaki didakwa buat hantaran video jelik di media sosial

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Teman lelaki kepada wanita yang membuka tudung dan menanggalkan baju kurung ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail di sini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial Instagram serta YouTube, bulan lepas.

V Alexander Navin, 38, yang memakai sweater berwarna hitam dan berseluar jeans pendek mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ dan YouTube dengan nama profil ‘Alex & Amy @ insta Greenleafyconnoiseur’, pada 5 Jun dan 16 Jun lepas.

Kedua-dua hantaran itu dibaca di sebuah kondominium di Damansara Perdana di sini, pada 10.30 pagi, 9 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris tidak menawarkan jaminan, namun memohon RM40,000 bagi setiap pertuduhan sekiranya mahkamah membenarkan jaminan.

"Memandangkan kes ini viral dan bagi mengelak tertuduh melarikan diri serta ia mendatangkan kegusaran kepada orang awam, saya mohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang memuat naik sebarang hantaran berkenaan perjalanan kes di mana-mana media sosial sehingga kes selesai," katanya.

Peguam R. Sivaraj yang mewakili Alexander Navin memohon jaminan RM1,500 bagi setiap pertuduhan memandangkan anak guamnya yang bekerja sebagai penulis bebas tidak memperoleh pendapatan tetap.

Menurut peguam itu, sebelum ini anak guamnya yang masih bujang bekerja sebagai pengajar selam bebas, namun akibat pandemik Covid-19, pendapatannya terjejas akibat kejatuhan industri pelancongan ketika itu.

"Jumlah jaminan ditawarkan oleh pihak pendakwaan amat tinggi kerana anak guam saya yang bekerja sebagai penulis bebas hanya berpendapatan RM1,000 hingga RM2,000 sebulan. Dia juga tidak akan melarikan diri dan telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan," katanya yang turut dibantu peguam Ramesh N.P. Chandran.

Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 1 September ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sebelum itu, teman wanitanya, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam, bulan lepas.

Sebuah video berdurasi 54 saat tular di media sosial minggu lepas, dengan wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam dan menghafaz 15 juzuk al-Quran, kemudian bertindak menanggalkan baju kurung dan tudungnya dan hanya meninggalkan pakaian mencolok mata sehingga mengundang pelbagai komen netizen. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!