Banjir Baling: Kajian kenal pasti kawasan selamat perlu dipercepat
BALING - Kementerian terlibat digesa mempercepatkan kajian untuk mengenal pasti kawasan selamat bagi pembinaan semula penempatan mangsa yang kehilangan tempat tinggal di Kampung Iboi di sini.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, usaha itu penting untuk memastikan kejadian pada 4 Julai lalu tidak berulang lagi setelah penempatan baharu dibina untuk 17 keluarga terbabit.
Katanya, kawasan bencana terbabit dalam proses pemulihan dan mereka perlukan laporan terbabit dengan segera untuk melancarkan proses baik pulih.
"Kami ingin tahu sama ada masih selamat untuk membina semula kediaman di Kampung Iboi atau di Bukit Iboi.
"Kami memerlukan jawapan secepat mungkin kerana kami kini dalam fasa proses pemulihan sebelum mula membina semula rumah untuk mangsa," katanya ketika sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Terbuka Kampung Padang Empang di sini pada Rabu.
Bantuan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia merangkap Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab.
Menurutnya, isu terbabit juga akan dibangkitkan di Dewan Rakyat apabila Parlimen bersidang semula Isnin depan.
"Isu ini akan jadi antara soalan pertama yang saya akan bangkitkan di Dewan Rakyat nanti.
"Ini kerana banjir telah mengubah landskap kawasan terjejas. Mereka yang kehilangan rumah trauma dengan kejadian itu dan merayu untuk dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat," katanya.
Abdul Azeez menambah, penduduk yang tidak terjejas banjir juga masih tertanya-tanya dan memerlukan jawapan segera sama ada mereka selamat untuk terus tinggal di kawasan terbabit.
"Ini adalah persoalan mendesak yang dibangkitkan oleh mangsa dan saya akan membangkitkannya di Parlimen," katanya.
Sementara itu, Yusuf berkata, jawatankuasa itu akan membuat beberapa cadangan mengenai kerja-kerja pembinaan semula dan pembaikan infrastruktur yang rosak akibat banjir.
"Antara yang kita akan beri perhatian adalah pembinaan jambatan baharu di Kampung Iboi yang akan dinaikkan lebih tinggi daripada jambatan sebelum ini.
"Kita juga mungkin mencadangkan kepada kementerian yang berkaitan untuk mendalamkan lagi Sungai Kupang dan menaik taraf sistem perparitan dan pembetung sedia ada bagi meminimumkan kesan banjir pada masa hadapan," katanya.
Katanya, jawatankuasa terbabit akan menyediakan satu laporan lengkap untuk diserahkan kepada speaker Dewan Rakyat dalam tempoh dua minggu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!