ECK tidak lagi terlibat pembinaan KXP: MB Kedah

Muhammad Sanusi (tengah) ketika melancarkan Kulim Smartparking Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) di Wisma Darul Aman.
Muhammad Sanusi (tengah) ketika melancarkan Kulim Smartparking Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) di Wisma Darul Aman.
A
A
A

ALOR SETAR - Syarikat ECK Group (ECK) tidak lagi terlibat dalam projek membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) seperti diumumkan kerajaan negeri sebelum ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penamatan kerjasama tersebut disebabkan syarikat berkenaan gagal memenuhi syarat yang dipersetujui dalam perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, antara syarat yang tidak dipenuhi ECK termasuk gagal mendepositkan yuran komitmen berjumlah 125 peratus daripada RM2.1 bilion untuk pengambilalihan tanah.

“Kerjasama itu ditamatkan pada Mei. Itu antara syarat syarikat itu perlu lakukan tetapi mereka gagal penuhi. Ia adalah perkara asas apabila pengambilan tanah tak dapat dibuat, projek itu tak dapat dijalankan,” katanya pada sidang akhbar selepas pra pelancaran Kulim Smartparking Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi bagaimanapun menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan pembatalan kerjasama itu dengan tragedi kepala air di Gunung Inas, disebabkan ECK didakwa antara syarikat terlibat dalam pembangunan ladang durian musang king.

“Kita bukan mahu batalkan projek KXP. Apabila syarikat itu ditamatkan penglibatan, kita cari syarikat lain yang berminat untuk usaha sama baharu,” katanya.

Pada Selasa, bekas Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Muhkriz Mahathir mendakwa ECK telah ditamatkan penglibatan dalam pembinaan KXP.

ECK dilaporkan membeli syarikat Aman Mega Sdn Bhd yang kemudiannya dibenarkan untuk menanam durian musang king ketika Kedah ditadbir Barisan Nasional (BN) bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mukhriz turut mendakwa Muhammad Sanusi menganugerahkan projek KXP kepada ECK sebelum dibatalkan baru-baru ini susulan tidak berkemampuan melaksanakan projek mega tersebut.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, ketika ini terdapat tujuh atau lapan syarikat yang berminat untuk meneruskan projek KXP tersebut.

“Mereka ada hantar kertas cadangan, KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd akan buat penilaian dan usaha wajar dalam memilih syarikat yang layak.

“Kita akan lakukan proses pemilihan yang paling meyakinkan sebab ia melibatkan pelaburan besar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!