'Tidak tahu perjanjian TPM benar atau sebaliknya'

Abd Rahman (kiri) dan Mustapa Kamal.
Abd Rahman (kiri) dan Mustapa Kamal.
A
A
A

SHAH ALAM - Perjanjian mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak diketahui sama ada benar atau tidak.

Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri bagaimanapun berkata, sekiranya ada rundingan mengenai jawatan terbabit, ia masih menguntungkan UMNO.

"Perdana Menteri daripada parti UMNO. Apa lagi kita nak pertikaikan?," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Muhyiddin sebelum ini dilapor menjelaskan wujud perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kuota anggota Kabinet.

Abd Rahman menambah, segala keputusan yang dibuat oleh Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri juga tidak pernah membelakangkan parti.

"Apa jua keputusan yang dibuat, beliau (Ismail Sabri) sentiasa merujuk kepada parti. Mereka selalu berjumpa dalam mesyuarat pengurusan dan sebagainya.

"Jadi saya harap kestabilan politik dan kestabilan parti yang ada ini jangan ada yang cuba menangguk di air keruh, cuba melaga-lagakan Perdana Menteri dan kepimpinan kita seolah-olah Perdana Menteri membelakangkan parti dan sebagainya," tegasnya.

Beliau turut melihat bahawa kepimpinan Ismail Sabri telah mula diterima oleh rakyat dan Ahli Parlimen Bera itu juga mengambil alih pimpinan kerajaan sebelum ini yang disifatkannya teruk.

"Daripada pandemik Covid-19, masalah kegawatan ekonomi tetapi lama-lama Perdana Menteri telah berjaya menarik pelabur-pelabur luar. Contohnya baru-baru ini daripada Turkiye, negara-negara arab dan dapat mengurangkan masalah pandemik Covid-19.

"Jadi, rakyat pun sudah nampak rasa tertarik dengan kepimpinan Perdana Menteri yang mementingkan kebajikan," ujarnya.

Mengulas isu sama, Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff pula berkata, sebagai Perdana Menteri, semestinya Ismail Sabri akan mendengar apa sahaja pandangan atau permintaan termasuklah daripada Muhyiddin.

"Sebagai Perdana Menteri, boleh mendengar pandangan atau permintaan sesiapa sahaja. Tidak semestinya Muhyiddin atau sesiapapun," katanya.

Bagaimanapun tegas Mustapa, itu bukan bermakna Ismail Sabri akan setuju dengan pandangan atau permintaan yang dikemukakan.

Beliau juga berpendapat pada masa ini tidak sesuai untuk melantik Timbalan Perdana Menteri kerana rakyat kini menderita berhubung dengan harga barang asas.

"Kalau boleh difokuskan lebih kepada keadaan ini, lebih baik. Sekarang, Perdana Menteri telah buat yang terbaik untuk mengurus atau mengawal harga barang," ujarnya.

Jelasnya, permintaan daripada parti-parti yang berceritakan tentang jawatan juga akan menyebabkan persepsi masyarakat menjadi tidak baik.

"Dari segi nak minta jawatan waktu macam ini saya rasa itu bukan nombor satu. Yang penting cerita pasal nak uruskan ekonomi dan bantu Perdana Menteri untuk menguruskan perjalanan ekonomi itu lebih baik daripada bercerita tentang jawatan," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!