Sambut baik kerjasama keselamatan makanan dengan Arab Saudi
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengalu-alukan cadangan daripada Menteri Pertanian Arab Saudi, Abdulrahman Abdulmohsen A. AlFadley untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam kerangka keselamatan makanan.
Beliau menerusi catatan di Facebook pada Rabu berkata, ini berikutan potensi besar yang dimiliki Malaysia dalam bidang pertanian, termasuk mempunyai banyak tanah yang boleh diusahakan.
Ismail Sabri berkata kerjasama itu dicadangkan AlFadley ketika kunjungan hormatnya ke Putrajaya hari ini.
"Saya dan TYT AlFadley melihat banyak potensi kerjasama dalam bidang pertanian dan industri makanan yang boleh diterokai bersama.
"Saya bersetuju Malaysia dan Arab Saudi untuk berkerjasama dalam kerangka kerja keselamatan makanan dengan menubuhkan satu jawatankuasa bersama bagi melihat serta merangka dasar berhubung keselamatan makanan,” katanya.
Pada pertemuan itu, perdana menteri berkata AlFadley turut menyentuh mengenai prospek ‘pelaburan berbalik’ yang boleh diterokai Malaysia dalam mengatasi isu keselamatan makanan yang kini dihadapi seluruh dunia.Beliau berkata kerajaan Arab Saudi telah menggunakan konsep yang sama dengan negara lain seperti Amerika Syarikat, negara-negara di Selatan Amerika, Ukraine dan Australia.
"TYT AlFadley merasakan kerjasama ini akan memberi manfaat yang meluas kepada kedua-dua negara, malah kepemimpinan Arab Saudi bersedia memberi sokongan terhadap inisiatif keselamatan makanan antara kedua-dua negara,” katanya.
Ismail Sabri berkata Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan istimewa yang terjalin sejak sekian lama bukan sahaja dalam konteks hubungan antara rakyat kedua-dua negara tetapi juga merangkumi hubungan ekonomi yang luas. - Bernama
Saya menerima kunjung hormat Menteri Pertanian Arab Saudi, TYT Abdulrahman Abdulmohsen A. AlFadley hari ini. Malaysia-Arab Saudi mempunyai hubungan istimewa yang terjalin sekian lama, bukan sahaja dalam konteks hubungan antara rakyat kedua-dua negara (people-to-people) tetapi juga merangkumi hubungan ekonomi yang luas. Saya dan TYT AlFadley melihat banyak potensi kerjasama dalam bidang pertanian dan industri makanan yang boleh diterokai bersama. Saya bersetuju Malaysia dan Arab Saudi untuk berkerjasama dalam kerangka kerja keselamatan makanan dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Bersama bagi melihat serta merangka dasar berhubung keselamatan makanan. Beliau juga menyentuh tentang prospek ‘pelaburan berbalik’ yang boleh diterokai oleh Malaysia dalam mengatasi isu keselamatan makanan yang kini dihadapi oleh seluruh dunia. Saya mengalu-alu cadangan TYT AlFadley untuk berkerjasama dalam kerangka keselamatan makanan memandangkan Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam pertanian termasuk mempunyai banyak tanah yang boleh diusahakan.
Posted by Ismail Sabri Yaakob on Wednesday, July 13, 2022
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!