Bahana wang menguasai diri
SHAH ALAM - Tekanan ekonomi semasa dan kegagalan mengawal sumber kewangan merupakan antara penyebab utama seseorang itu terjebak dalam perbuatan rasuah.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Dr Mohd Rahim Khamis berkata, setiap individu seharusnya bijak dalam mengawal sumber kewangan dan tidak berbelanja mengikut nafsu.
Katanya, seseorang individu perlu tahu untuk menggunakan wang atau pendapatan sedia ada bagi memenuhi tuntutan kehidupan.
Menurutnya, kegagalan merancang kewangan sehingga melampaui kemampuan diri akan menyebabkan seseorang itu melakukan perbuatan salah bagi mendapatkan wang tambahan termasuk menerima rasuah.
“Seandainya kita bijak mengawal wang yang ada, faham apa yang perlu dan perkara tidak perlu, akhirnya kita tidak akan melakukan sesuatu bertentangan dengan undang-undang.
“Perlu memastikan kita berjaya mengawal sumber kewangan yang ada iaitu wang dengan sebaiknya, selain merancang segala perbelanjaan dengan bijak dan tidak keterlaluan,” katanya kepada kru Rasuah Busters, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd Rahim berkata, suatu yang agak mustahil untuk seseorang individu memenuhi kesemua keinginan dan kehendak diri tanpa mengukur di badan sendiri.
Jelasnya, keinginan memiliki apa yang orang lain ada tanpa memiliki sumber pendapatan kukuh bakal menjerumuskan seseorang itu ke arah perlakuan rasuah.
“Sebenarnya kita sedar dan mengetahui yang kita tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup, tetapi demi memenuhi sesuatu keinginan di luar batasan, akhirnya kita sanggup melakukan apa sahaja termasuk menerima rasuah.
“Kita sebenarnya perlulah sentiasa beringat bahawa tidak semua yang kita inginkan akan tercapai. Maka kita kenalah bijak membuat percaturan dan perancangan di dalam kehidupan seharian.
“Kalau semua yang dihajati dan diingini mudah didapati, makanya tiadalah prinsip asas dalam ekonomi berkaitan opportunity cost (kos melepas) akan wujud,” kata beliau.
Tambahnya lagi, masyarakat umum perlu bijak dalam membuat keputusan dan tindakan yang melibatkan wang kerana setiap keputusan diambil pastinya akan memberi impak kepada diri sama ada positif mahupun negatif.
Dalam teori ekonomi, jelasnya, seseorang yang rasional akan membuat pilihan daripada semua alternatif bagi mencapai kepuasan diri secara maksima.
Untuk itu, tegasnya, manusia yang menjadi hamba kepada wang dan kebendaan akan berhadapan kesan yang parah iaitu tidak pernah puas atau cukup dengan apa yang ada.
Jelasnya, sifat buruk tersebut akan menyebabkan terhakisnya nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kerana terlalu mengejar harta dunia.
“Seseorang yang terjebak dengan rasuah sudah semestinya mereka akan berasa puas dengan apa yang mereka peroleh antaranya hadiah mewah dan imbuhan berupa wang ringgit.
“Namun semua kepuasan itu hanya dirasai selagi mana mereka tidak ditangkap oleh pihak berkuasa. Tetapi apabila ditangkap, mereka pastinya akan menyesal tak sudah.
“Untuk itu, setiap daripada kita mestilah sentiasa beringat agar kita tidak dikawal oleh harta keduniaan, sebaliknya belajarlah untuk bersyukur menerima apa jua yang kita ada dan sentiasalah berusaha untuk menjadi lebih baik,” tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!