Dilema imam muda pendapatan bawah gaji minimum, tiada caruman KWSP
SEDIH Merak Jalanan mendengar luahan seorang imam berusia awal 30-an yang berkongsi cerita mengenai belanja kos sara hidup dengan pendapatan berbentuk elaun bulanan bawah RM1,000.
Imam muda itu bertugas di sebuah masjid di tanah rancangan Felda yang terletak di negeri pantai timur dengan elaun dibayar oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Ia tidak dikategorikan sebagai gaji.
Seperti tidak percaya tetapi ia bukanlah isu baharu. Difahamkan ada beberapa negeri yang telah menaikkan elaun untuk imam, bilal dan siak masjid secara berperingkat, namun ia masih tetap di bawah gaji minimum RM1,500.
Terma elaun diguna pakai untuk jawatankuasa masjid menyebabkan imam-imam tidak dicarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara automatik di dalam slip gaji seperti dinikmati golongan pekerja lain.
Apabila disuarakan kepada pihak berkenaan, imam muda itu akan dipandang sinis kerana dianggap lebih mengutamakan gaji dunia berbanding bekerja seikhlas hati untuk ganjaran pahala akhirat.
Persoalannya, adakah ketika membeli barang di pasar raya, imam muda tersebut boleh bayar menggunakan terma seikhlas hati? Adakah individu yang berstatus mulia sebagai imam masjid tidak memerlukan duit lebih untuk mengisi perut isteri dan anak di rumah?
Sekiranya imam muda melakukan kerja sampingan seperti mengait buah kelapa sawit atau penghantar makanan, sudah pasti mereka terlewat ke masjid. Nanti ada pula suara melabel imam tidak menepati masa atau kaki ponteng.
Itulah realiti dan dilema dihadapi imam muda. Mereka juga insan biasa yang mempunyai komitmen untuk keluarga dan diri sendiri.
Ketika orang lain berdepan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, mereka turut terbeban.
Jika situasi itu berterusan, Merak Jalanan bimbang anak muda tidak lagi berminat berkhidmat sebagai imam terutama di kawasan luar bandar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!