Akta SPRM 2009 perlu digubal agar digeruni

Hariz
Hariz
A
A
A

SHAH ALAM – Pemberi, penerima rasuah perlu menerima hukuman lebih berat jika Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dipinda semula.

Exco Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Hariz Yusof berkata, elemen sebatan perlu dimasukkan dalam akta berkenaan bagi memberi kesedaran kepada penerima dan pemberi rasuah.

Menurutnya, mengikut hukum syarak dalam al-Quran dan sunnah tidak dinyatakan secara spesifik hukuman bagi kesalahan itu jadi kesalahan rasuah jatuh pada hukuman takzir.

“Hukuman takzir adalah bawah budi bicara kerajaan dan pemimpin, jadi macam mana nak letakkan hukuman di bawah pesalah-pesalah tersebut, sebagai contoh hukuman mereka yang mengedar dadah ini bukan hukuman hudud, ini bukan hukuman kisas, tetapi kerajaan telah tetapkan perundangan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati," katanya pada Program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Hukuman Rasuah Masih Ringan’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.

Program turut menampilkan panelis, Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia (ACFE), Datuk Seri Akhbar Satar dan Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan manakala Zaim Zaini bertindak sebagai moderator.

“Begitu juga dengan hukuman rasuah kerajaan boleh mengubal akta tersebut dan ketatkan bagi kesalahan rasuah dengan meletakkan hukuman mandatori sebatan,” katanya

Jelasnya, rasuah ini di bawah jenayah takzir, jadi yang tentukan hukuman ialah kerajaan, wakil rakyat termasuk ahli Parlimen.

“Jadi untuk sesuatu tuduhan itu sewenang-wenangnya dipinda atau diubah itu adalah tertakluk kepada budi bicara kuasa yang diperuntukkan kepada Peguam Negara,” katanya.

Ujarnya lagi, Peguam Negara bukan sahaja peranannya menasihati kerajaan dalam isu perundangan tapi turut diberi kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 145(3) untuk memutuskan sesuatu pendakwaan itu boleh dilakukan kepada seseorang tertuduh itu untuk menghentikan atau meminda atau apa sahaja di bawah budi bicara pendakwa raya tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!