Lelaki disyaki positif dadah antara enam ditahan

Seorang individu ditahan AADK ketika satu operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Syed Abdul Aziz di sini, pada malam Rabu.
Seorang individu ditahan AADK ketika satu operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Syed Abdul Aziz di sini, pada malam Rabu.
A
A
A

MELAKA - Kegembiraan seorang pemuda keluar bersama kekasihnya tidak berpanjangan selepas ujian awal saringan air kencing terhadapnya didapati positif dadah jenis ganja dalam satu operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Syed Abdul Aziz di sini, pada malam Rabu.

Lelaki berusia 28 tahun itu antara enam individu berusia 20 hingga 40 tahun yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam sekatan Op Motosikal sempena Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2022.

Lelaki yang baharu berhenti kerja itu ketika ditanya berkata, dia keluar bersama teman wanita untuk membeli makanan sebelum mereka pulang ke rumah di Masjid Tanah.

Menurutnya, mengakui mengambil dadah pada minggu lepas ketika lepak bersama rakannya di sebuah pusat karaoke dan bukan pertama kali mengambil benda terlarang itu.

Sementara itu dalam operasi itu, sebanyak 920 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 332 kenderaan telah diambil tindakan oleh anggota penguat kuasa JPJ atas pelbagai kesalahan.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Sharif berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 359 notis dikeluarkan dan 383 kesalahan dikesan terhadap pemandu kereta dan penunggang motosikal.

Menurutnya, daripada jumlah itu kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan tiada pelindungan insurans paling tinggi direkodkan iaitu sebanyak 125 kesalahan, diikuti cermin gelap 92 kesalahan, tiada lesen memandu 75 kesalahan manakala nombor pendaftaran dan lain-lain kesalahan masing-masing 34 kesalahan.

Katanya, turut direkodkan 17 kesalahan teknikal termasuk ubah suai kenderaan serta cermin retak selain enam kesalahan melebihi muatan.

"Operasi ini juga membabitkan seramai 58 anggota dari semua agensi penguatkuasaan seperti JPJ, AADK, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Operasi bermula jam 8.30 malam sebelum tamat jam 12 pagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!