Sukma: Sasaran Perak 50 pingat emas realistik


Khairul Shahril (tiga dari kanan) menunjukkan pakaian rasmi kontinjen Perak sempena pelancaran slogan, logo dan pakaian rasmi kontinjen Sukma Negeri Perak di Hotel Casuarina Meru Raya di sini pada Rabu.
Khairul Shahril (tiga dari kanan) menunjukkan pakaian rasmi kontinjen Perak sempena pelancaran slogan, logo dan pakaian rasmi kontinjen Sukma Negeri Perak di Hotel Casuarina Meru Raya di sini pada Rabu.
A
A
A

SASARAN 50 pingat emas yang ditetapkan Kontinjen Perak dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 pada September depan adalah realistik mengambil kira pencapaian semasa atlet negeri itu.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, perkara itu dinilai berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan atlet dalam beberapa siri kejohanan disertai sebelum ini.

Menurutnya, meskipun masih berbaki dua bulan, barisan atlet telah menunjukkan komitmen dan semangat jitu yang tinggi untuk memberikan pencapaian terbaik.

"Sasaran 50 pingat emas yang kita buat bukan sekadar seronok sendiri sebaliknya ia diputuskan berdasarkan kepada prestasi semasa kejohanan-kejohanan terkini.

"Jadi saya yakin, ada ruang untuk kita cipta sejarah tersebut kerana Perak juga pernah merekodkan kutipan 49 pingat emas sebelum ini yang merupakan pencapaian terbaik dalam penyertaan Sukma.

"Tetapi kali ini kita lihat dengan persiapan yang postif dan keadaan semasa, kita optimis untuk mencapai sekurang-kurangnya 50 pingat emas," katanya selepas menyempurnakan pelancaran slogan, logo dan pakaian rasmi kontinjen Sukma Negeri Perak di Hotel Casuarina Meru Raya di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Mazlan Mohamad; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Mohd Soufi Mohd Ibrahim dan Ketua Kontinjen Perak Sukma 2022, Johari Sham Ahmad Shohor Affendi.

Khairul Shahril (tengah) menyaksikan perjanjian kerjasama antara MSN Perak bersama Viq Apparel Sdn Bhd dan Global Sport Medical Suppliers Sdn Bhd selaku rakan strategik sukan.
Khairul Shahril (tengah) menyaksikan perjanjian kerjasama antara MSN Perak bersama Viq Apparel Sdn Bhd dan Global Sport Medical Suppliers Sdn Bhd selaku rakan strategik sukan.

Dalam program itu turut diadakan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara MSN Perak bersama Viq Apparel Sdn Bhd dan Global Sport Medical Suppliers Sdn Bhd selaku rakan strategik sukan.

Mengulas lanjut, Khairul Shahril berkata, skuad menembak menjadi sandaran utama kontinjen negeri itu untuk membawa pulang sekurang-kurangnya tujuh pingat emas.

Begitupun jelasnya, harapan turut ditaruhkan dalam acara sukan lainnya termasuk yang diletakkan dalam kategori B yang sebelum ini tidak menetapkan sasaran mampu ke podium.

"Kontijen Perak akan menyertai kesemua 31 jenis sukan yang dipertandingkan dalam temasya ini selari dengan konsep untuk meraikan semua persatuan sukan.

"Misalnya untuk acara gimrama, mereka memberitahu mungkin tidak mampu untuk menghasilkan kutipan pingat, tetapi kita galakkan penyertaan kerana yakin dalam dua tahun lagi dapat melahirkan atlet yang mampu ke podium.

"Proses melahirkan jaguh ini bukan dalam tempoh yang singkat, tetapi berpanjangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!