Empat kapal tangki bersauh tanpa kebenaran ditahan

Kapal tangki yang ditahan Maritim Malaysia Zon Tanjung Sedili kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur. - Foto Maritim Malaysia
Kapal tangki yang ditahan Maritim Malaysia Zon Tanjung Sedili kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili menahan empat kapal tangki kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur sejak 7 Julai lalu.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal pertama berdaftar dari Zanzibar ditahan di kedudukan 15 batu nautika timur Tanjung Lompat pada jam 10.15 pagi, 7 Julai lalu.

"Kapal kedua pula ditahan di kedudukan 27 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil pada jam pada jam 3.00 petang 8 Julai. Kapal terbabit berdaftar dari Bangkok.

"Manakala kapal ketiga pula berdaftar dari Malaysia ditahan kedudukan 16 batu nautika timur laut Tanjung Penawar pada jam 5.30 petang, 10 Julai. Sementara, kapal tangki keempat yang berdaftar dari Singapura, ditahan pada jam di kedudukan 12.5 batu nautika timur Tanjung pada jam 11.50 pagi, Rabu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, kapal terbabit dikendalikan 43 orang kru termasuk nakhoda terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Thailand dan Singapura berusia lingkungan 24 hingga 64 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua kapal tangki terbabit ditahan setelah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Laut Malaysia ketika pemeriksaan dilakukan.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Jelasnya, penahanan kapal keempat pada Rabu, menjadikan penahanan ke-25 untuk kes seumpama itu bagi tahun ini.

Justeru, pemilik atau pengusaha perkapalan dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan atau segera beredar kerana Maritim Malaysia tidak akan berkompromi serta tindakan yang lebih tegas akan diambil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!