Dua maut nahas libatkan empat kenderaan
PEKAN - Pemandu dan penumpang sebuah kereta maut dalam nahas melibatkan kereta, van dan dua lori di Kilometer 36, Jalan Kuantan-Segamat di sini pada Rabu.
Dalam nahas kira-kira-kira jam 11 pagi itu, pemandu kereta jenis Proton Wira, Muhammad Padillah Hussin, 52, dan penumpangnya, Nurul Solehah Muhammad Padillah, 23, cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dalam kemalangan itu, pemandu van, Reduan Jaafar, 36, yang patah tangan dihantar menerima rawatan ke hospital sama manakala dua pemandu lori, Shahrizal Amin Ismail, 32, dan Azmizan Awang, 38, tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki dua mangsa itu dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan manakala tiga lagi kenderaan dari arah bertentangan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Muhammad Padillah dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan terlanggar tayar belakang salah sebuah lori sebelum bertembung dengan van milik sebuah syarikat kawalan serangga.
"Kesan rempuhan itu, kereta terbabit terbabas masuk semula ke laluan menghala Kuantan," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Mohd Zaidi berkata dalam kejadian itu, van yang dirempuh kereta mangsa turut dilanggar sebuah lagi lori yang datang dari arah belakang.
"Mangsa yang parah dihantar ke HTAA untuk menerima rawatan.
"Pemandu kereta disahkan meninggal dunia jam 1.53 tengah hari ketika menerima rawatan di wad kecemasan manakala penumpang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) jam 6.45 petang," katanya.
Beliau berkata, kemalangan mengorbankan dua nyawa itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!