Terengganu rekod 90 kes kemalangan tempat kerja

Mohd Zahari (tengah) bersama peserta yang menyertai Program OSH Compliance Support sempena Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (OSHWEEK) Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Hotel Sri Malaysia pada minggu lalu.
Mohd Zahari (tengah) bersama peserta yang menyertai Program OSH Compliance Support sempena Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (OSHWEEK) Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Hotel Sri Malaysia pada minggu lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu merekodkan 90 kes kemalangan di tempat kerja dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini di seluruh negeri.

Pengarahnya, Mohd Zahari Hitam berkata, daripada jumlah itu, tujuh kes kemalangan yang direkodkan melibatkan kematian, dua kes hilang upaya kekal manakala 74 kes tanpa kehilangan upaya kekal.

“Sepanjang tempoh tersebut, kita turut menerima tujuh kes kejadian berbahaya di tempat kerja selain 13 aduan dan angka-angka ini memberi berita sedih kepada kita terutama buat keluarga mangsa yang terlibat,” katanya di sini pada Khamis.

Sehubungan itu menurut Mohd Zahari, JKKP telah merangka satu pelan khusus untuk jangka masa panjang iaitu Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025 (OSHMP25) sebagai usaha untuk meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tempat kerja.

Beliau berkata, pelan tersebut merupakan strategi dan program yang dirangka bagi melonjakkan tahap KKP negara ke peringkat lebih cemerlang untuk melindungi sumber manusia yang merupakan aset penting dalam menjayakan program pembangunan negara.

“Salah satu daripada program yang dirancang adalah Program Stepwise OSH Level Verification and Enhancement for Small and Medium Enterprise (SOLVE 4 SME) iaitu satu program khusus untuk sektor industri kecil dan sederhana (IKS).

“Peranan utama program ini adalah membantu IKS meningkatkan pematuhan dalam aspek perundangan, kesedaran KKP, dan membantu menguruskan KKP dengan lebih cekap bagi mengurangkan statistik kemalangan di tempat kerja.

“Saya harap dengan adanya pelan induk dan program-program yang dibangunkan ini, akan dapat melonjakkan tahap KKP negara ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya di sektor IKS,” katanya.

Jelas Mohd Zahari, pihaknya turut mengadakan Program OSH Compliance Support sempena Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (OSHWEEK) Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Hotel Sri Malaysia, minggu lalu.

OSHWEEK adalah satu acara tahunan yang disambut pada minggu ke-2 bulan Julai setiap tahun bermula tahun 2006 dengan tujuan menghebahkan maklumat terkini berkaitan isu-isu keselamatan dan kesihatan.

Dengan tema sambutan pada tahun ini adalah ‘Semarakkan OSHMP25: KKP Inklusif Kebersamaan dan Komitmen’, ia juga disasarkan bagi mempromosikan pembentukan dan pemeliharaan budaya kerja selamat dan sihat dalam kalangan majikan, pekerja serta orang awam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!