Indonesia beku pekerja: Sektor ladang paling terjejas

Pekerja amat diperlukan bagi tempoh kemuncak pengeluaran sawit pada bulan-bulan akan datang. - Gambar hiasan
Pekerja amat diperlukan bagi tempoh kemuncak pengeluaran sawit pada bulan-bulan akan datang. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Indonesia membekukan sementara kemasukan pekerja warganegaranya ke Malaysia akan memberi impak paling ketara terhadap sektor perladangan yang banyak bergantung kepada tenaga kerja itu bagi tujuan pungutan buah sawit.

Malah, kesan itu lebih ketara memandangkan pekerja terbabit amat diperlukan bagi tempoh kemuncak pengeluaran pada bulan-bulan akan datang, demikian menurut CGS-CIMB Securities Sdn Bhd.

"Pembekuan (pengambilan pekerja asing) akan menyaksikan unjuran pengeluaran minyak sawit bagi separuh kedua 2022 turun ke paras lebih rendah berbanding setahun lepas.

"Isu kekurangan pekerja berserta kenaikan kos (gaji minimum dan harga baja) serta kemerosotan harga minyak sawit mentah (MSM), adalah sesuatu yang negatif bagi pendapatan suku kedua 2022 serta berisiko mengurangkan perolehan hasil peladang Malaysia,” katanya dalam nota tinjauan pada Khamis.

Menurut Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, Indonesia merupakan negara sumber pekerja asing yang penting yang menyumbang kira-kira 35 peratus pekerja asing dan 70 peratus tenaga pembantu rumah di Malaysia.

CGS-CIMB berkata, Malaysia dilaporkan mengalami masalah kekurangan tenaga kerja yang ketara membabitkan masing-masing industri pembuatan (627,000 pekerja), perladangan seramai 120,000 orang dan pembinaan sebanyak 550,000 orang.

"Secara keseluruhannya, kami melihat laporan mengenai tindakan terbaharu Indonesia itu sebagai berisiko menurunkan pendapatan korporat,” katanya.

Pada Rabu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan sebagai berkata bahawa negara itu menghentikan sementara semua proses berkaitan penghantaran pekerja warganegaranya ke Malaysia atas alasan berlakunya pelanggaran dalam perjanjian persefahaman yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada 1 April, 2022.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan pula mengesahkan bahawa kementerian itu telah menerima surat makluman rasmi daripada pihak berkuasa Indonesia mengenai langkah pembekuan tersebut dan beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan Kementerian Dalam Negeri.

Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainudin sebaliknya enggan membesarkan keputusan Indonesia tersebut dan berkata, Malaysia akan mengambil pekerja dari negara lain termasuk Bangladesh. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!