Bot karam: Seorang nelayan selamat, empat masih hilang
GEORGETOWN - Empat nelayan warga Indonesia hilang manakala seorang ditemui selamat selepas bot dinaiki mereka karam pada jam 7 pagi, Rabu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sebelum mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) melalui Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi.
Menurutnya, laporan mengenai kejadian diterima pada jam 12.25 tengah hari daripada pemilik sebuah bot nelayan tempatan yang memaklumkan penemuan seorang lelaki sedang terapung pada kedudukan kira-kira 7.5 batu nautika barat Sungai Kongsi, Balik Pulau.
"Sebaik menerima maklumat tersebut, bot KILAT 26 Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk mengambil mangsa di perairan Gertak Sanggul.
"Selepas menyelamat mangsa, kita meneruskan operasi pencarian awal bagi mengesan tiga lagi rakan mangsa yang masih hilang," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Katanya, hasil temubual awal mangsa yang terselamat yang dikenali sebagai Aswin, 43, kesemua mereka berusia lingkungan 30 hingga 55 tahun keluar ke laut dari Tanjung Balai Asahan, Indonesia untuk menangkap ikan.
"Menurut Aswin, dia dan rakan-rakannya berada di laut hampir lima hari. Bagaimanapun, bot mereka bocor dan karam sebelum belayar pulang. Pemeriksaan juga mendapati mangsa tiada mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
"Dia dan rakan-rakannya sempat memakai jaket keselamatan sebelum masing-masing hanyut dan terpisah antara satu sama lain," katanya.
Beliau berkata lagi, ketika kejadian, laut dalam keadaan bergelora selain angin kencang.
"Mangsa yang terselamat berada dalam keadaan baik dan sihat ketika operasi menyelamat. Kita masih berusaha mencari tiga lagi rakan mangsa. Hari ini masuk hari kedua operasi mencari dan menyelamat dengan keluasan pencarian 42 batu nautika persegi.
"Operasi membabitkan aset Maritim Malaysia buat masa ini memandangkan lokasi bot yang disyaki karam tidak dapat dikenalpasti dan dipercayai berada di tengah laut.
"Orang awam yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!