Pandu bas di lorong kanan kesalahan paling tinggi

Antara bas yang ditahan semasa operasi dilakukan. - Foto ihsan JPJ
Antara bas yang ditahan semasa operasi dilakukan. - Foto ihsan JPJ
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 42 kesalahan dikesan dilakukan oleh pemandu bas ketika penyamaran oleh Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) Negeri Sembilan sepanjang empat hari Operasi Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Operasi pada 7, 8, 12 dan 13 Julai itu melibatkan seramai enam pegawai penguat kuasa yang membuat penyamaran sebagai penumpang dengan menaiki 18 buah bas.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, memandu di lorong kanan secara berterusan merupakan kesalahan paling banyak dilakukan iaitu 11 kes.

"Selain itu enam kes masing-masing bagi kesalahan melakukan pemandu, tidak selenggara buku log dan tidak patuhi isyarat lalu lintas.

"Kesalahan lain ialah lima kes memandu melebihi empat jam secara berterusan bagi jarak perjalanan 300 Kilometer tanpa pemandu kedua dan dua masing-masing menggunakan telefon bimbit dan kesalahan teknikal," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, operasi secara penyamaran sebagai penumpang bas akan dibuat secara berkala sebagai 'Perception of Being Caught' (POBC) kepada pemandu agar patuh kepada peraturan lalu lintas.

Jelasnya, JPJ akan mengesan kesalahan-kesalahan yang dilakukan dan akan mengeluarkan saman kepada pemandu serta merta setelah tiba di destinasi.

Sehubungan itu katanya, para pemandu bas dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa memandu agar keselesaan serta keselamatan penumpang dan juga pengguna jalan raya lain sentiasa terjaga.

"Ia juga dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan yang membabitkan kenderaan kategori ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!