Penghantaran lewat punca bekalan gula di Labuan kurang
LABUAN - Kekurangan bekalan gula di pulau bebas cukai kini disebabkan oleh kelewatan penghantaran dan kurang bekalan barang keperluan itu bagi memenuhi permintaan tempatan.
Berikutan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Labuan mengingatkan pengguna dan peniaga tentang kemungkinan masalah itu bertambah teruk, ketika agensi itu berusaha mengawal peningkatan harga gula secara ‘senyap’, selain berdepan dengan kenaikan kos makanan.
Pengarahnya, Junaidah Arbain berkata, walaupun pemborong di sini sentiasa mengimport gula pada jumlah maksimum bagi memenuhi permintaan penduduk tempatan, namun sering kali bekalan yang diterima kurang daripada kuantiti yang diminta.
Beliau berkata, KPDNHEP telah meluluskan lesen sembilan pemborong untuk mengimport gula ke pulau itu daripada dua pembekal utama di Semenanjung iaitu Central Sugars Refinery (CSR) Shah Alam, Selangor dan Malayan Sugar Refinery (MSM) Perlis serta Johor.
Labuan mengalami kekurangan bekalan gula sejak tahun lepas dengan peniaga, pasar raya dan pasar raya besar telah diingatkan supaya mengawal dalam pembelian gula.
Junaidah berkata, pulau bebas cukai itu memerlukan sekurang-kurangnya 120 tan metrik gula sebulan untuk keperluan kira-kira 110,000 penduduknya, bagaimanapun bekalan bulanan diterima daripada dua pembekal berkenaan tidak mencukupi dan diburukkan lagi dengan kelewatan penghantaran import gula.
Menurutnya, kapasiti tempat penyimpanan gula di sembilan kedai pemborong tidak digunakan sepenuhnya disebabkan kekurangan bekalan daripada pembekal.
"Bagi mengatasi kesan kekurangan yang teruk ini, kami membenarkan pemborong mendapatkan bekalan dari Sabah bagi memenuhi permintaan domestik yang meningkat,” katanya.
Beliau berkata, empat kedai pemborong mampu memuatkan 100 tan metrik gula, manakala yang lain antara 10 dan 50 tan metrik.
Junaidah turut mengingatkan pengguna supaya mengehadkan dan mengelakkan pembelian panik, selain pada masa sama meminta peniaga tidak menyorokkan bekalan gula menyebabkan berlaku kekurangan yang tidak sepatutnya.
Sementara itu, seorang peniaga, Maimunah Osman, 48, berkata, gangguan bekalan gula seperti tidak dapat dikawal sehingga menyebabkan mereka dalam keadaan hampir kehabisan barang tersebut.
"Saya terpaksa menghentikan operasi perniagaan beberapa hari kerana tidak mendapat bekalan gula yang mencukupi untuk perniagaan kek saya," katanya. - Foto Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!