'Tak semua isu boleh jadi bahan jenaka, komedi'
GEORGETOWN - Islam tidak menentang hiburan termasuk komedi atau lawak jenaka malah tidak menghendaki penganutnya sentiasa serius sehingga tiada ruang untuk bersantai dan berekreasi sesuai dengan fitrah manusia.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bagaimanapun, jenaka yang dibuat itu tidak boleh keterlaluan terutamanya yang melibatkan isu serius seperti agama.
Menurutnya, bukan semua isu boleh dijadikan bahan jenaka atau dikomedikan kerana ia ada batasnya.
"Islam tidak menentang hiburan, komedi dan lawak jenaka selain tidak terlalu serius dalam kehidupan seharian, ia perlu seimbang. Bagaimanapun, jangan lah sampai melampau dan tidak menjaga sensitiviti terutamanya ia melibatkan agama.
"Ini pernah dinyatakan oleh Rasulullah kepada seorang sahabat Baginda bernama Hanzalah yang merasakan dirinya sudah jadi munafik kerana bergurau senda dengan ahli keluarganya di rumah," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Katanya, semua pihak perlu faham bahawa hiburan termasuk komedi mempunyai had batasannya.
"Bukan kesemua perkara boleh dijadikan bahan hiburan dan jenaka kerana soal agama Islam sama ada akidah keimanannya, ibadat dan hukum hakamnya tidak wajar dijadikan bahan jenaka atau komedi.
"Perkara-perkara berkaitan dengan agama Islam mestilah dihormati sebagai sesuatu yang bersifat suci atau sakral," katanya.
Dalam pada itu, Wan Salim berkata, pihak berkuasa perlu melaksanakan satu garis panduan dan kawalan tertentu agar pemilik dan pengunjung sentiasa memelihara batas-batas moral dan agama.
Katanya, pihak berkuasa agama Islam antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama perlu menasihati masyarakat Muslim agar sentiasa menghormati kesucian agama mereka dan tidak dijadikan bahan mainan atau gurauan.
"Banyak lagi perkara lain boleh dijadikan bahan jenaka, kenapa agama pula yang dipilih untuk tujuan ini? Jika penganut agama Islam sendiri yang mempersendakan agamanya, bagaimana orang bukan Islam nak menghormati agama Islam?
"Semoga kedudukan agama Islam sentiasa dimartabatkan sebagai agama negara dan dihormati oleh seluruh warganegara sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam," ujarnya.
Pada Sabtu lalu, video memperlihatkan seorang wanita bertindak menanggalkan tudung dan baju kurung tular di media sosial sehingga mengundang kemarahan masyarakat.
Wanita tersebut, Siti Nuramira Abdullah naik ke pentas dan memperkenalkan dirinya selain mengaku seorang wanita Melayu Islam dan menghafal 15 juzuk al-Quran.
Dia didakwa melakukan perkara itu di Restoran Crack House Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada jam 6 petang, 4 Jun lalu.
Akibat tindakan itu, wanita itu dan teman lelakinya, V Alexander Navin direman oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!