KDN semak semula SOP warganegara
KUALA LUMPUR - Prosedur operasi standard (SOP) bagi proses permohonan warganegara yang diguna pakai sejak sekian lama akan disemak semula.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semakan itu turut meliputi kes pengambilan anak angkat dan juga pemegang kad pengenalan merah.
Beliau berkata, tujuan utama semakan SOP itu adalah untuk mempercepatkan proses permohonan supaya dapat mengurangkan masa menunggu.
“Saya telah mengarahkan supaya SOP itu diteliti, cuma laporannya masih belum diberikan.
"Selepas sudah dapat, kita boleh duduk berbincang, terdapat beberapa kawasan kelabu yang perlu dikenal pasti, jadi jika semua ini selesai kita harap proses permohonan dapat dipercepatkan dalam tempoh satu hingga dua minggu,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen.
Beliau menjelaskan, semakan itu perlu dilakukan sejajar dengan manifesto PRU14 iaitu pemegang kad pengenalan merah dan berstatus pemastautin tetap yang berusia 60 tahun ke atas akan diberi taraf warganegara.
Menurutnya, perkara itu turut disuarakan beberapa Ahli Parlimen termasuk rakan-rakan dalam Kabinet.
Beliau berkata, semakan itu harus tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan kerana terdapat undang-undang yang perlu dipatuhi.
“Saya harap apabila SOP ini selesai, kita dapat mengurangkan karenah birokrasi.
"Bukan tujuan kita sengaja mahu melambatkan, jika anda berhak mendapat warganegara, anda perlu mendapatkannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!