Bekas Komando 69 bebas tuduhan miliki kerambit, parang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis melepaskan dan membebaskan seorang bekas anggota Komando 69 serta mengetepikan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan kerana memiliki kerambit dan parang empat tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said memerintahkan Muhamed Khairul Akmar Mohamed Shahid, 35, dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan memiliki senjata berkenaan selepas membenarkan rayuan lelaki itu.

"Ini adalah keputusan sebulat suara. Mahkamah mendapati, ada keraguan dalam kes ini. Oleh itu, sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen diketepikan. Perayu dilepas dan dibebaskan,” kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

Panel itu membuat keputusan berkenaan selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Karim dan peguam, Mohamad Naim Kamaruddin yang mewakili perayu (Muhamed Khairul Akmar).

Di luar mahkamah, Muhamed Khairul Akmar dilihat memeluk seorang ahli keluarganya sambil menangis selepas mahkamah membuat keputusan.

Pada 13 Jun 2019, Muhamed Khairul Akmar dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas dia didapati bersalah atas pertuduhan itu dan sabitan serta hukuman dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 14 Disember 2020.

Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonannya untuk menggantung pelaksanaan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Rayuan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, Muhamed Khairul Akmar didakwa memiliki senjata iaitu kerambit dan parang di dalam beg berwarna hitam dan beg 'porche' celoreng miliknya di dalam masjid Kem PGA Ulu Kinta, Perak pada 3 petang, 4 Jun 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!