Penurunan harga minyak mentah dunia tidak jejaskan ekonomi negara
SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpandangan bahawa penurunan harga minyak mentah dunia tidak akan menyebabkan berlakunya kemelesetan ekonomi di negara ini.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia berikutan kerajaan menganggarkan hasil pendapatan minyak dunia jauh lebih rendah berbanding apa yang berlaku pada masa kini.
Disebabkan itu, katanya, perkara tersebut tidak mendatangkan impak negatif kepada negara sebaliknya memberi harga tambahan kepada kerajaan.
“Apabila kerajaan kita buat Bajet 2022 itu, kerajaan membuat anggaran hasil minyak negara berdasarkan harga minyak dunia yang jauh lebih rendah iaitu sekitar 60 dolar hingga 72 dolar.
“Jadi sekarang ini walaupun harga minyak turun bawah daripada 100 dolar, ia jauh lebih tinggi daripada hasil kita.
“Bermakna, kita masih lagi mendapat pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada sasaran kita,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, meskipun harga minyak dunia memberi kesan kepada pendapatan negara, namun faktor-faktor luar juga boleh menyebabkan harga minyak dunia kekal tinggi.
“Sebagai contoh, China masih lagi dalam ‘lockdown’, tetapi apabila ia sudah dibuka sektor ekonomi ini akan meningkatkan permintaan terhadap minyak.
“Selain itu, krisis Rusia-Ukraine yang masih berlarutan yang mana negara Eropah akan memboikot untuk membeli barangan dari Rusia ini boleh menyebabkan harga minyak naik sebab Rusia sekarang pun sudah mengehadkan pengeluarannya.
“Jadi negara Eropah mahu atau tak, mereka terpaksa mencari (minyak dari) sumber lain yang lebih jauh dari Rusia, kesannya akan menyebabkan harga turut meningkat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!