Sorok dadah bercampur biji kacang

Zazuli(dua dari kiri) menunjukkan bungkusan dadah yang disorok kan dengan biji kacang
Zazuli(dua dari kiri) menunjukkan bungkusan dadah yang disorok kan dengan biji kacang
A
A
A

NILAI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis ketamin seberat 245 kilogram yang disorokkan bersama biji kacang pelbagai jenis bernilai RM13.475 juta pada 4 Julai lalu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, modus operandi yang pertama kali dikesan itu merupakan rampasan paling besar direkodkan tahun ini.

"Sindiket ini telah mengikrarkan barang yang mengandungi dadah sebagai kacang hijau sedangkan di dalamnya terdapat bungkusan kacang yang bercampur dengan serbuk kristal putih disyaki dadah berbahaya.

"Siasatan awal mendapati barang dagangan tersebut di eksport dari sebuah negara di eropah dan transit di sebuah negara Timur Tengah sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai destinasi terakhir," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM Kampung Jijan di sini pada Khamis.

Zazuli(dua dari kiri) menunjukkan balang biskut kanabis yang dijual di media sosial
Zazuli(dua dari kiri) menunjukkan balang biskut kanabis yang dijual di media sosial

Menurutnya, pengimport memalsukan pengikraran barangan semasa proses pengimportan sekaligus menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan tersebut.

"Namun siasatan masih berjalan bagi mengesan suspek di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, taktik terbaharu lain yang dikesan ialah menghasilkan biskut berasaskan kanabis dengan menjualnya di platform media sosial.

Ujarnya, ia susulan penahanan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 29 dan 26 tahun di hadapan sebuah syarikat kurier di Subang Jaya, Selangor.

"Pasangan itu ditahan selepas menuntut bungkusan mengandungi bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1.5 kilogram.

"Hasil soal siasat lanjut telah membawa kepada serbuan di sebuah kondominium di Puchong, Selangor dan menemui dadah jenis kanabis seberat enam kilogram.

"Turut disita balang-balang mengandungi biskut disyaki diperbuat dari bahan dicampur kanabis dengan nilai rampasan keseluruhan RM18,750," katanya.

Menurutnya, pasangan itu yang telah didakwa di mahkamah pada 6 Julai lalu dipercayai menjual satu balang 'biskut kanabis' dengan harga RM100 dan dipercayai aktif sejak setahun lalu.

Dalam pada itu katanya, dari tempoh Januari sehingga awal bulan ini, JKDM telah berjaya menumpaskan cubaan menyeludup pelbagai jenis dadah termasuk racun sebanyak 1,036 kilogram yang bernilai keseluruhan RM20.475 juta

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kegiatan penyeludupan dadah banyak menggunakan modus operandi melalui parcel kurier dan kargo udara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!