11 individu diberkas, dadah RM8 juta dirampas

Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada Jumaat.
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang didalangi warga asing apabila 11 individu ditahan menerusi lima serbuan di sekitar Lembah Klang pada Jumaat lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, menerusi serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJSN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur turut merampas pelbagai dadah bernilai RM8.07 juta.

"Kita telah merampas dadah jenis ketamin seberat 106.3 kilogram (kg), pil ermin 5 (18.5 kg) dan pil ekstasi (16.5 kg)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noorsiah berkata, polis turut menyita pelbagai aset sindiket mengikut Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988.

"Kita menyita lapan kenderaan bernilai RM522,800, wang tunai berjumlah RM20,300 dan barang kemas bernilai RM39,201," katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket yang aktif sejak Februari lalu itu adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat memproses dan stor simpanan dadah, sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan terutama di sekitar Lembah Klang.

"Kesemua suspek berusia 22 hingga 38 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!