Warga Nigeria didenda RM1,500 merusuh di kelab malam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan warga Nigeria didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana merusuh di sebuah kelab malam bulan lepas.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu apabila Agbonmwandolor Bobby Efosa, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris. Tertuduh membayar denda itu.

Efosa bersama beberapa individu lain yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kelab malam TREC KL, Jalan Tun Razak pada 4.45 pagi 25 Jun lepas mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran namun peguam Zaflee Pakwanteh merayu hukuman denda atas alasan anak guamnya perlu menanggung seorang anak hasil perkahwinan dengan warga tempatan selain hanya cuba meleraikan rusuhan akibat pergaduhan yang disertai rakan-rakannya.

"Anak guam saya mengaku bersalah kerana turut serta dalam rusuhan itu. Dia menyesal atas perbuatannya dan memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan,” kata peguam itu.

Difahamkan ketika kejadian, tertuduh tidak memiliki sebarang senjata bersamanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!