Cari bajet baiki Stadium Shah Alam: PAAB

Kerajaan Selangor digesa mencari peruntukan untuk membaiki dan menyelenggara Stadium Shah Alam secara berjadual serta komprehensif. - Foto Awani (Gambar kecil: Mustapha)
Kerajaan Selangor digesa mencari peruntukan untuk membaiki dan menyelenggara Stadium Shah Alam secara berjadual serta komprehensif. - Foto Awani (Gambar kecil: Mustapha)
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Alumni Alam Bina (PAAB), Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA (UiTM) menggesa agar kerajaan Selangor mencari peruntukan untuk membaiki dan menyelenggara Stadium Shah Alam secara berjadual serta komprehensif.

Presidennya, Mustapha Mohd Salleh berkata, adalah tidak logik apabila stadium yang dibuka secara rasmi pada 1994 itu dibiarkan rosak tanpa diselenggara sejak beberapa tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak apa-apa rancangan pembangunan semula di kawasan sekitar Seksyen 13, tetapi Stadium Shah Alam tidak perlu disentuh atau dirobohkan.

“Stadium ini merupakan antara monumen ikonik yang menjadi salah satu mercu tanda Bandaraya Shah Alam.

“Tindakan merobohkannya adalah satu tindakan undur semula yang hanya berdasarkan pada kepentingan nilai ringgit pembangunan.

“Sebaliknya, langkah yang lebih wajar adalah dengan membaik pulih dan memastikan pemuliharaan berjadual agar pelaburan asal pembinaan monumen ikonik ini melangkaui kitar hayat yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan Selangor masih dalam peringkat penelitian dan perbincangan termasuk pilihan merobohkan Stadium Shah Alam sebagai langkah penjimatan jangka masa panjang.

Mengulas lanjut, Mustapha turut mempersoalkan ada pihak berkepentingan yang begitu mudah merancang untuk merobohkan dan menggantikannya dengan stadium baharu berkapasiti separuh daripada yang sedia ada.

Katanya, seharusnya pembangunan yang dirancang perlu bersifat regeneratif dan lebih memberi penambahbaikan berbanding sekarang.

“Kita sudah ada satu stadium yang besar, jadi seharusnya diperbanyak aktiviti rekreasi awam untuk tarik anak-anak muda datang ke stadium bukan hanya sewaktu perlawanan bola sepak sahaja.

“Melalui pengurusan fasiliti yang profesional, stadium ini mesti dijaga untuk menghidupkannya semula.

“Memandangkan isu ini melibatkan kepentingan nasional dan pihak awam, sebarang pembangunan juga perlu mengambil kira pandangan awam dan mendapat rundingan pakar serta profesional alam bina,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!