KKM sasar pendaftaran produk Cannabidiol menjelang 2023
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan pendaftaran beberapa produk asas kanabis, Cannabidiol (CBD) menjelang 2023.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerangka bagi pendaftaran produk CBD bakal diperoleh tahun ini dan selepas itu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan menilai proposal tersebut.
"Saya sasarkan tahun hadapan kami boleh mula mendaftar beberapa produk CBD, tetapi yang penting bukan hanya produk itu sendiri, kena tengok kesahihan data produk dari segi keselamatan dan keberkesanan produk tersebut untuk penyakit tertentu.
"(Selain itu) pendidikan dan pendedahan saintifik perlu diberikan kepada pegawai perubatan di Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran laporan ‘How Do Malaysians Really Feel About Drugs?' yang dihasilkan institusi penyelidikan The Centre, diasaskan bersama Khairy yang telah menjalankan tinjauan di seluruh negara terhadap 500 orang dewasa pada April 2022.
Dalam pada itu, Khairy menekankan penggunaan CBD hanya melalui preskripsi bukan untuk kegunaan dan perubatan sendiri dan tidak sama sekali bagi penggunaan rekreasi.
"Apabila kita bawa masuk CBD, ia tidak boleh dibeli melalui kaunter farmasi, ia mesti preskripsi dan yang penting bila sudah ada produk itu di sini, doktor tahu bagaimana hendak memberi preskripsi,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu akan mengambil sedikit masa selain KKM mengambil pendekatan berhati-hati, serta melihat kepada amalan antarabangsa dan data saintifik berkenaan penggunaan produk CBD.
Khairy berkata, KKM akan mula dengan penelitian pendaftaran produk CBD yang dibuka secara umum, seterusnya ujian klinikal yang meliputi ujian terhadap manusia, dilaksanakan penyelidik di Malaysia tentang penggunaan CBD.
Beliau berkata, KKM juga sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa penyelidik dari Universiti Malaya untuk mereka melaksanakan ujian klinikal bagi penggunaan CBD bagi sesetengah penyakit kondisi medikal di Malaysia.
Kepada soalan bahawa dengan kelulusan kerangka CBD akan bermulanya penanaman kanabis di Malaysia, Khairy berkata, ia bukan dalam masa terdekat.
"Penanaman (kanabis) ini kami tengok dahulu, langkah demi langkah. Langkah kami berhati-hati, mulakan dengan daftar beberapa produk (CBD) dahulu dan tengok penerimaan doktor, pesakit dan selepas itu sekiranya penerimaan tinggi, selamat dan berkesan barulah kami boleh memikirkan untuk penanaman,” katanya.
Khairy berkata, ramai telah menghantar proposal untuk mengusahakan ladang kanabis tetapi Malaysia belum sampai ke tahap itu lagi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!