Sulaiman mahu lihat undi tak percaya
MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mahu melihat sama ada undi tidak percaya terhadapnya akan berlaku atau sebaliknya ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung 25 Julai ini.
Sulaiman berkata, beliau tidak tahu di mana datangnya sumber berkenaan 'undi tidak percaya' dan yakin ia tercetus disebabkan sikap cemburu dan iri hati segelintir pihak yang tidak mahu melihat keamanan yang terjalin dalam pentadbiran kerajaan negeri.
"Kalau ada usaha itu undilah, saya pun tidak tahu datang dari mana berita ini, saya tak takut apa-apa.
"Mungkin ada orang yang tak suka melihat kita dalam keadaan aman dan tenteram," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Ketua Menteri 2022-2026 di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, pada Khamis.
Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan dakwaan mungkin Sulaiman berdepan undi tidak percaya pada sidang DUN.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, spekulasi itu biasa dan lali dengan situasi itu.
Malah sebelum ini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan politik Melaka dalam keadaan genting dan menganggap ia permainan pembangkang.
Persidangan DUN Melaka dijadualkan bermula 25 Julai hingga 27 Julai ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!