Singapura antara pasaran tumpuan sindiket dadah
KUCHING - Sindiket dadah yang menjadikan Malaysia negara transit menyasarkan Singapura sebagai antara pasaran utama mereka berikutan harga yang lebih lumayan berbanding di negara ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh.
Katanya turut menjadi pilihan sindiket ialah Indonesia, Filipina dan Australia.
Malaysia pula dipilih sebagai negara transit berikutan kedudukannya yang strategik di Asia Tenggara, katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.
Beliau memberi contoh rampasan terbesar melibatkan dadah jenis syabu seberat 2.06 tan bernilai RM103.2 juta di Johor baru-baru ini.
Dadah terbabit boleh menampung keperluan 10.3 juta penagih di rantau ini, katanya menambah dadah tersebut dipercayai diseludup masuk melalui jalan laut dari kawasan Segi Tiga Emas Thailand-Myanmar-Kemboja.
“Sindiket-sindiket ini juga amat licik, pelbagai jenis modus operandi digunakan bagi mengelakkan aktiviti-aktiviti mereka dihidu oleh pihak berkuasa.
“Bagaimanapun saya percaya dengan kerjasama yang erat antara di polis Malaysia dan agensi dadah antarabangsa negara jiran, kita mampu mengambil tindakan cepat bagi melumpuhkan sindiket-sindiket tersebut,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!