Felda Jengka 25 juara AKRF, bawa pulang RM1 juta
BERA - Felda Jengka 25 dinobatkan juara Anugerah Kecemerlangan Kampung Felda (AKRF) pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2022 Peringkat Kebangsaan pada Khamis.
Ketua Peneroka Jengka 25, Zainol Abidin Abd Rahman berkata, kemenangan anugerah ini disifatkan sebagai johan berganda apabila jumlah wang kemenangan bernilai RM500,000 telah dinaikkan sekali ganda seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis tersebut.
Menurutnya, hadiah ini sangat bermakna buat warga Jengka 25 dan ia berkat kerjasama erat semua penduduk yang telah bekerja keras menjayakan pelbagai aktiviti selama ini.
"Saya teruja apabila Perdana Menteri mengumumkan kenaikan wang kemenangan bagi johan AKRF tahun ini menjadi RM1 juta tetapi yang mengejutkan apabila kami Felda yang pertama menerima RM1 juta itu.
"Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang banyak membantu sehingga berjaya mencapai kejayaan ini," katanya.
Zainol Abidin berkata, dengan duit kemenangan itu, pelbagai usaha boleh dilaksanakan bagi menaik taraf kepelbagaian usaha mereka untuk menjadikan Felda Jengka 25 sebagai salah satu produk pelancongan di negeri Pahang.
"Kita juga akan mengadakan kenduri kesyukuran untuk wilayah Jengka nanti," katanya.
Pemenang kedua AKRF dimenangi Felda Maokil 1, Johor yang membawa pulang RM300,000, manakala tempat ketiga ialah Felda Raja Alias Dua, Negeri Sembilan yang menerima RM200,000.
Sementara itu, bagi Anugerah Tokoh Peneroka pula menjadi milik Samsudin Othman dari Wilayah Johor Bahru; Tokoh Penerokawati dirangkul Zaleha Abd Shukor@Saakor dari Wilayah Mempaga, manakala Anugerah Tokoh Belia dimenangi Muhammad Zul Syafiq Abdul Wahab dari Wilayah Jengka.
Turut menerima penghargaan, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah antara lima penerima bagi Anugerah Tokoh Generasi 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!