[VIDEO] Brek tidak berfungsi punca kemalangan 29 kenderaan

Pemandu treler dikatakan cuba mengelak ke kiri tetapi gagal dan terbabas sehingga menyebabkan muatan besi yang dibawa jatuh. (Gambar kecil: Superintendan Zaizul Rizal)
Pemandu treler dikatakan cuba mengelak ke kiri tetapi gagal dan terbabas sehingga menyebabkan muatan besi yang dibawa jatuh. (Gambar kecil: Superintendan Zaizul Rizal)
A
A
A

PASIR PUTEH - Brek tidak berfungsi dipercayai menjadi punca kemalangan melibatkan 29 kenderaan sehingga menyebabkan seorang ibu tunggal maut dalam kejadian di jalan Kemunting, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, hasil siasatan awal mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu mengalami kegagalan brek semasa dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

"Pemandu treler cuba mengelak ke kiri tetapi gagal dan terbabas sehingga menyebabkan muatan besi yang dibawa jatuh ke atas penunggang motosikal, pemandu kereta dan penunggang basikal yang sedang berhenti di laluan bersebelahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pemandu treler tersebut dilaporkan patah tulang belakang dan menerima rawatan di Hospital Tengku Anis di sini, manakala kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, hasil ujian air kencing pemandu tersebut negatif dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Zaizul Rizal berkata, para pemandu motokar dan penunggang motosikal dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

"Para pemandu dinasihatikan supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan dan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan," katanya.

Sinar Harian melaporkan pada Khamis, seorang ibu tunggal maut manakala anak lelakinya putus kaki kanan dalam kemalangan melibatkan 29 buah kenderaan di jalan Kemunting, Pasir Puteh.

Dalam kejadian jam 9.05 pagi itu, Yusni Hamid, 32, maut di lokasi akibat kecederaan parah sementara anaknya yang putus kaki kanan dikenali sebagai Mohamad Shahrul Rizal Mohd Azizi, 12, terpaksa ditidurkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!