Peniaga ditahan kenakan syarat tidak masuk akal
GEORGETOWN - Tindakan seorang peniaga yang mengenakan syarat untuk pembelian minyak masak peket tanpa kebenaran mengundang padah apabila premisnya diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) Pulau Pinang pada Khamis.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPNDHEP Pulau Pinang, A Mogan berkata, hasil serbuan, pihaknya telah menyita 187 peket minyak masak bersubsidi berjenama 1 kilogram (kg) yang bernilai keseluruhan RM467.50.
Menurutnya, dalam serbuan pada jam 11 pagi di Jalan Pesara Claimant itu, KPDNHEP Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan peniaga tersebut yang mengenakan syarat kepada pembeli iaitu perlu membeli barangan melebihi RM10 terlebih dahulu.
"Peniaga berusia 37 tahun itu mengenakan syarat iaitu pembeli perlu membeli barangan di premisnya melebihi RM10 terlebih dahulu sebelum layak membeli 2kg minyak peket.
"Serbuan ini dibuat selepas kita menerima aduan orang ramai dan risikan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang. Kita menahan peniaga itu untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, perbuatan peniaga itu berjaya dibongkar selepas penguat kuasa menjalankan penyamaran dan terbukti dia mengenakan syarat tersebut ke atas pembeli tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kita akan terus giat menjalankan pemantauan serta pemeriksaan terhadap bekalan minyak masak dan barangan di sekitar Pulau Pinang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!