Lelaki ditemui mati dengan kesan torehan
IPOH - Mayat seorang lelaki ditemui dengan beberapa kesan torehan di kaki dan tangan dalam sebuah bangunan terbiar di Kampung Kuchai dekat sini pada Khamis.
Keadaan lelaki berusia 55 tahun itu disedari orang awam sekitar jam 2 petang sebelum memaklumkan kepada polis.
Mangsa difahamkan ditemui dalam keadaan terlentang dengan terdapat kesan darah di lantai bangunan.
Setakat ini, belum dapat dipastikan motif kejadian, namun pemeriksaan di lokasi telah menemui sebilah pisau lipat berhampiran mayat.
Turut ditemui peralatan dipercayai digunakan bagi aktiviti penagihan.
Mayat mangsa telah dibawa keluar dari bangunan itu sekitar jam 7 malam untuk dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi proses bedah siasat.
Penduduk berhampiran yang ditemui memaklumkan, bangunan yang pernah digunakan sebagai sekolah itu telah lama terbiar sejak lebih 20 tahun lalu dan kerap kali menjadi sarang penagih.
Mereka memaklumkan, sebelum kejadian tidak mendengar sebarang pergaduhan atau perkara lain yang membawa kepada kematian mangsa.
"Kami pun tak tahu ada penemuan mayat, dalam jam 2.30 petang tadi, nampak sudah ramai polis di sini.
"Bangunan itu memang sudah lama terbiar dan hanya jadi tempat penagih sahaja, kadang-kadang mereka tidur di situ," kongsi mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!