India nafi bantu perjalanan Presiden Sri Lanka
NEW DELHI - India menafikan negara itu terbabit dengan sebarang perjalanan yang dilakukan Presiden Gotabaya Rajapaksa selepas beliau melarikan diri dari Sri Lanka.
Gotabaya tiba di Maldives pada Rabu dengan menaiki pesawat tentera bersama isterinya ketika tunjuk perasaan besar-besaran menentang pemerintahannya.
Beliau kemudian dilaporkan meninggalkan Maldives dengan menaiki penerbangan Saudi Airlines pada Khamis menuju ke Singapura, lapor akhbar Daily Mirror Sri Lanka.
Gotabaya turut diiringi pasukan keselamatan khas Maldives sebelum menaiki pesawat, menurut laporan itu.
Menurut kerajaan India pihaknya tidak mempunyai sebarang peranan dalam rancangan perjalanan Presiden Sri Lanka itu.
Sementara itu pada Khamis Suruhanjaya Tinggi India di Maldives menerusi ciapan di Twitter menafikan sepenuhnya laporan tidak berasas yang mengatakan bahawa kerajaan India terlibat dalam transit @GotabayaR melalui Maldives.
Misi diplomatik India di Colombo dalam hantaran di media sosial pada Rabu turut menafikan "laporan media yang tidak berasas dan spekulatif" yang menyatakan India membantu Gotabaya keluar dari Sri Lanka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!