KPLB sedia peruntukan khas RM1.5 juta bina rumah mangsa banjir

Mahdzir (dua dari kiri) meninjau tapak tanah di Desa Keda Sadek pada Khamis.
Mahdzir (dua dari kiri) meninjau tapak tanah di Desa Keda Sadek pada Khamis.
A
A
A

BALING - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM1.5 juta bagi membina 21 buah rumah baharu mangsa banjir di daerah Baling yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian banjir dan kepala air pada 4 Julai lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rumah tersebut akan dibina di atas tanah berkeluasan lebih satu hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di Desa Keda Sadek di Kupang.

Menurutnya, terdapat dua lokasi di Desa Keda Sadek yang sesuai untuk pembinaan rumah iaitu di kawasan padang bola dan tanah kosong di tepi jalan.

"Saya telah berbincang dengan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Pengurus Besar KEDA dan kita bersetuju menjadikan tapak tanah di tepi jalan sebagai perumahan untuk mangsa banjir," katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan ke tapak tanah itu di Desa Keda Sadek di sini pada Khamis.

Mahdzir berkata, pembinaan rumah jenis teres itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

"Rumah berkenaan akan diberikan kepada keluarga yang hilang tempat tinggal atau rumah mengalami kerosakan sehingga 80 peratus dan tidak boleh didiami akibat bencana itu.

"Pembinaan rumah tersebut mungkin mengambil sedikit masa kerana akan melibatkan kelulusan kebenaran merancang yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, laporan terkini menunjukkan lebih 400 rumah mangsa banjir disenaraikan untuk dibaik pulih berbanding laporan awal sebanyak 60 rumah.

"KPLB telah mengadakan perbincangan dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk menyegerakan kerja baik pulih kerosakan rumah mangsa banjir tersebut.

"Tahap kerosakan itu ada pelbagai kategori, jadi saya sudah bincang dengan TKSU, kita tengok mungkin boleh disegerakan untuk Keda dan GiatMara datang membuat apa yang patut (untuk baik pulih rumah), bincang dengan pejabat daerah dan kemudian kita boleh laksanakan.

"Tapi dalam proses itu ada juga yang dikendalikan oleh ICU, sebab kita punya bajet banjir, kita pun ada kekangan, jadi maknanya KPLB dan ICU bersama membantu membaik pulih rumah mangsa banjir," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!