Remaja maut nahas kereta, treler muatan besi

Keadaan kereta mangsa yang remuk mengakibatkan tiga mangsa tersepit dan seorang daripadanya meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Keadaan kereta mangsa yang remuk mengakibatkan tiga mangsa tersepit dan seorang daripadanya meninggal dunia ketika menerima rawatan.
A
A
A

KAMPAR - Seorang remaja perempuan maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 294.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini pada awal pagi Khamis.

Mangsa, Loh Khai Wen, 19, yang menaiki kereta jenis Proton Iswara disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 12 tengah hari semasa rawatan.

Kejadian sekitar jam 1.45 pagi itu turut mengakibatkan dua mangsa lain dalam kereta yang sama berusia 26 dan 19 tahun mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pemandu treler berusia 41 tahun tidak cedera, manakala pemandu Honda City berusia 30 tahun cedera ringan di tangan.

"Selepas kejadian, tiga mangsa yang parah dihantar ke HRPB untuk rawatan, namun remaja perempuan yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta disahkan meninggal dunia ketika dirawat," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa melanggar bahagian belakang lori mengakibatkan pemandu sebuah lagi kereta yang berada di belakang gagal mengelak dan melanggar kereta itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!