Rosak palang pagar: Awal Ashaari akan kemuka representasi
PETALING JAYA - Selebriti Awal Ashaari yang didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan pertuduhan itu.
Peguam Hamizah Sobree yang mewakili Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, memaklumkan kepada mahkamah pihaknya bercadang untuk mengemukakan representasi berdasarkan dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan hari ini.
"Kami sahkan sudah menerima dokumen daripada pendakwaan dan bercadang untuk mengemukakan representasi berkenaan pertuduhan. Mohon arahan lanjut mahkamah,” katanya pada prosiding di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Ab Manaff.
Muhammad Iskandar berkata, pihak pembelaan boleh memfailkan representasi sekiranya dokumen yang diterima pada hari ini telah mencukupi dan menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Ketika ditemui media di luar mahkamah, Hamizah berkata, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkaitan kes yang telah diserahkan oleh pihak pendakwaan sebelum memutuskan jenis representasi yang akan dikemukakan.
Pada 17 Mei lepas, personaliti televisyen itu mengaku tidak bersalah melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600, di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada jam 11.30 pagi, 16 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!