Wanita PKR bangkit selepas dikhianati: Fuziah

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama para perwakilan Wanita PKR yang hadir pada Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Jumaat - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama para perwakilan Wanita PKR yang hadir pada Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Jumaat - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh menyifatkan sayap parti itu berjaya bangkit sekali gus meraih pencapaian membanggakan meskipun berhadapan dengan pengkhianatan oleh ahlinya sendiri ketika Langkah Sheraton dua tahun lalu.

Ahli Parlimen Kuantan itu menegaskan, perkara itu terbukti menerusi kejayaan 138 cabang sayap itu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang (MATWC) seterusnya membentuk Ahli Jawatankuasa Wanita Cabang bagi 2022-2025.

"Julai 2022 genap dua tahun saya menggalas jawatan Ketua Wanita Pusat, mengetuai pasukan dan berhempas pulas dalam misi membina semula sayap wanita selepas pengkhianatan. Mereka yang berada di hadapan ini setia bersama saya dalam melaksanakan tugas yang cukup mencabar itu.

"Diharapkan wanita-wanita cabang terus berusaha untuk memperkemas dan meningkatkan kefahaman berorganisasi selepas ini. Sama-sama kita doakan Wanita PKR akan bertambah utuh dan tekal," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Jumaat.

Sebelum ini menerusi Langkah Sheraton dua tahun lalu, beberapa pemimpin PKR turut menyertai tindakan berkenaan termasuk bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Ketua Wanita, Datuk Zuraida Kamarudin.

Dalam pada itu Fuziah turut menggariskan lapan teras bagi mengupaya wanita untuk berdaya termasuk keseimbangan pekerjaan-kehidupan, mengupaya wanita teraniaya, mengupaya wanita selaku ketua isi rumah (KIR) serta mengupaya wanita dan pendidikan.

Fuziah ketika menyampaikan ucapan dasar Wanita PKR pada Kongres Nasional PKR ke-16 - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Fuziah ketika menyampaikan ucapan dasar Wanita PKR pada Kongres Nasional PKR ke-16 - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR

Teras tersebut turut merangkumi mengupaya wanita dalam proses membuat keputusan, mengupaya wanita dan kesihatan, mengupaya wanita muda sebagai pewaris perjuangan serta mengupaya wanita untuk mampu berperanan dalam adaptasi perubahan iklim.

Sementara itu Fuziah yang akan melepaskan jawatan ketua wanita juga berharap, sayap parti itu mempunyai kekuatan untuk melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

"Saya tinggalkan sayap ini dengan hati yang tenang kerana saya tahu telah beri yang terbaik dalam membantu merealisasi potensi dalam diri kalian.

"Yakinlah dengan potensi tersebut dan upayakan diri anda dengan menambah ilmu serta kemahiran. Semoga anda menjadi wanita yang berdaya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!