Mangsa banjir di Baling trauma setiap kali hujan

Che Liah bersama suaminya di hadapan rumah mereka yang rosak dalam kejadian pada 4 Julai lalu.
Che Liah bersama suaminya di hadapan rumah mereka yang rosak dalam kejadian pada 4 Julai lalu.
A
A
A

BALING - Hujan berterusan kebelakangan ini menyebabkan penduduk berdekatan sungai di Kampung Iboi di sini semakin trauma, bimbang bencana banjir dan kepala air kembali berulang.

Mangsa banjir, Sopian Muhd Aziz, 53, berkata, hatinya tidak tenteram setiap kali melihat cuaca gelap di atas Gunung Inas walaupun ketika itu belum hujan di kawasan perkampungan.

Katanya, kejadian pada 4 Julai itu masih menghantui mereka dan menyebabkan tidur mereka tidak lena pada setiap malam.

"Dua tiga hari lepas hujan lebat, ramai yang susah hati, pekerja escavator pun sudah bersedia dalamkan sungai risau kepala air turun lagi sekali.

"Sebelum ini pun pernah jadi kepala air, tapi tidak begitu teruk macam 4 Julai lalu, jadi memang kami trauma sangat kali ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Keadaan Kampung Iboi selepas kejadian kepala air pada 4 Julai lalu. (Gambar kecil: Sopian)
Keadaan Kampung Iboi selepas kejadian kepala air pada 4 Julai lalu. (Gambar kecil: Sopian)

Che Liah Ramli, 63, masih teringat detik cemas dirinya dihanyutkan kepala air sehingga tersangkut dan berpaut pada pokok pisang pada ketinggian lebih satu meter sebelum diturunkan penduduk kampung.

"Saya tidak pernah tidur lena sejak hari kejadian, apabila malam saya sering jenguk tengok air sungai menerusi tingkap rumah," ujarnya.

Dalam kejadian itu, Che Liah yang juga mesra dengan panggilan Maksu pada mulanya menyelamatkan diri menaiki tangga rumahnya selepas paras air di dalam rumah naik hampir satu meter.

"Saya kemudian diselamatkan oleh anak saudara dan naik motosikal dengannya sebelum dihanyutkan arus deras ketika dalam perjalanan ke tempat selamat.

"Sekarang saya dan suami menumpang tidur di rumah orang tua saya selepas sebahagian dinding rumah pusaka suami pecah dan perlu dibaik pulih," jelasnya.

Suaminya, Abdullah Ahmad, 65, juga meluahkan perasaan bimbang sekiranya kejadian kepala air berulang dan berlaku di waktu malam sekali gus boleh menyebabkan lebih banyak nyawa terkorban.

Kepala air yang berlaku menyebabkan berlakunya banjir lumpur.
Kepala air yang berlaku menyebabkan berlakunya banjir lumpur.

"Cukup lah apa yang kami hadapi, rumah pusaka orang tua saya lebih 100 tahun hampir musnah, lumpur masih memenuhi setiap ruang di rumah saya, hanya bahagian atas rumah masih dalam keadaan baik.

"Kami hanya mengharapkan ihsan orang ramai dan agensi seperti bomba untuk membantu membersihkan kawasan rumah," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang 4 Julai lalu, lebih 800 buah rumah penduduk terutama di Kampung Iboi serta sekitar Kupang terjejas, termasuk 16 kediaman lenyap dan 18 lagi rosak teruk terkena kayu balak hanyut yang dibawa kepala air dari arah Gunung Inas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!