'Ibarat makan tidur bersama lalat'
TAIPING - Kehidupan aman diimpikan seorang pesara polis terganggu dengan kehadiran ribuan lalat di kediamannya di Kampung Padang Besar, Changkat Jering di sini sejak dua tahun lalu.
Masalah serangga itu dipercayai berpunca daripada operasi ladang ternakan ayam yang terletak kira-kira enam kilometer dari kampung berkenaan.
Arifin Abdul Majid, 62, berkata, kehadiran lalat semakin bertambah terutama ketika ladang berkenaan menjalankan operasi mengeluarkan ayam bagi tujuan pasaran.
"Pada musim perayaan, situasi jadi lebih teruk sebab ayam-ayam itu dikeluarkan untuk dijual.
"Ketika itu bahagian dalam dan luar rumah penuh dengan lalat, tak kiralah siang atau malam sampaikan nak makan pun susah," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Dia berkata, keadaan itu menjadikan mereka sekeluarga runsing sehinggakan malu untuk menjemput saudara mara datang ke rumah.
Pada perayaan Aidiladha lepas, dia terpaksa menggunakan lebih 400 helai pelekat lalat bagi mengurangkan gangguan serangga itu.
"Saya berpindah ke sini selepas pencen dengan hasrat hidup dalam keadaan aman sejahtera, tetapi lain pula yang jadi.
"Rumah terpaksa dalam keadaan tertutup 24 jam, pendek kata ibarat makan tidur bersama lalat," katanya.
Arifin berkata, perkara itu telah diadukan kepada pihak berkaitan, namun belum ada tindakan lanjut diambil.
Menurutnya, apabila ditanya kepada penduduk lain, mereka maklumkan sudah lali dengan keadaan itu.
"Saya faham keperluan ternakan ayam ini untuk bekalan makanan negara, tetapi pihak pengusaha perlu lebih bertanggungjawab mencari alternatif mengurangkan gangguan lalat supaya tidak menyusahkan penduduk.
"Kehadiran lalat kalau melampau sangat, sesiapun naik rimas dan tak selesa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!