'Anwar, Rafizi saling lengkapi PKR menuju PRU15'
SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) yakin gandingan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden mampu melengkapi antara satu sama lain dalam mengemudi parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kedua-dua tokoh berkenaan memiliki pengalaman yang dapat membantu kepada kemenangan parti.
”Anwar dikenali dan diiktiraf sebagai susuk yang melahirkan gerakan Reformasi pasca 1998, arkitek kepada gagasan reformasi dan kerana derita yang ditanggungnya, kita perolehi perubahan landskap politik yang bermanfaat buat rakyat.
"Saudara Rafizi pula berupaya dan mampu berperanan membantu parti meraih sokongan berbilang segmen dan susuk yang membawa pendekatan politik yang segar berasaskan formula dan data,” katanya dalam ucaptama pada Kongres Nasional Tahunan AMK 2021 dan 2022 yang bertemakan Bina Keyakinan Rakyat, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Pada pemilihan PKR 2022, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson diumumkan menang tanpa bertanding untuk jawatan presiden bagi tempoh 2022-2025 manakala Rafizi secara tidak rasmi menang jawatan nombor dua parti, menewaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Keputusan rasmi pemilihan bagi jawatan pusat akan diumumkan Ahad ini.
Sementara itu, Akmal yang menamatkan sesi 2018-2021 sebagai Ketua AMK hari ini, menggesa ahli terus memainkan peranan menyakinkan rakyat sebagai persediaan dan strategi memasuki gelanggang PRU15, yang menurutnya boleh diadakan pada bila-bila masa.
Kongres Nasional Tahunan AMK yang dirasmikan Saifuddin Nasution, dihadiri 422 perwakilan daripada seluruh negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!