Alasan penat Sze Fei-Nur Izzuddin mengarut: Rexy
Rexy Mainaky
A
A
A
Sze Fei-Nur Izzuddin yang turun selaku pilihan keenam kejohanan tewas dalam pusingan kedua kepada gandingan bukan pilihan dari India M.R. Arjun-Dhruv Kapila, 18-21, 24-22, 21-18 di Stadium Tertutup Singapura.
Rexy menyifatkan alasan penat diberikan juara Terbuka Jerman 2022 itu sebagai ‘tidak masuk akal’ kerana percaya mereka mendapat rehat secukupnya selepas tersingkir di pusingan pertama Masters Malaysia kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 14-21, 20-22, minggu lepas.
"Kami letak harapan besar kepada Sze Fei-Nur Izzuddin pada Terbuka Singapura tetapi malangnya mereka gagal kerana berdasarkan laporan daripada jurulatih Tan Bin Shen, mereka nampaknya memberi tekanan kepada diri sendiri sehingga lakukan kesilapan.
"Saya tak bisa (tidak boleh) terima mereka cakap penat, alasan itu mengarut kerana mereka tewas awal di Masters Malaysia, jadi apa yang penat?,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Selain Sze Fei-Nur Izzuddin, pakar beregu dari Indonesia itu juga tidak berpuas hati dengan persembahan dipamerkan kesemua beregu negara sehingga menyaksikan tiada wakil Malaysia mara ke suku akhir Terbuka Singapura 2022.
Jelasnya, beliau tidak gemar dengan persembahan pasangan muda Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri yang dilihat lebih cenderung bertahan berbanding menampilkan corak permainan agresif sehingga menyaksikan mereka tewas kepada pasangan utama tuan rumah, Terry Hee Yong Kai-Loh Kean Hean 15-21, 21-19, 17-21 pada pusingan kedua.
Jurulatih berusia 54 tahun itu juga tidak gembira dengan prestasi Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila mereka gagal memberi tentangan sengit kepada pilihan kedua Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan sebelum tunduk 17-21, 15-21 kepada pasangan Indonesia itu.
Ditanya mengenai perancangan bagi memantapkan beregu negara, Rexy berkata beliau mahu menguatkan lagi fizikal serta memperbetul cara berfikir mereka ketika bertarung dalam gelanggang.
"Saya juga mahu memberi fokus meningkatkan tahap keyakinan mereka, dari segi kemahiran bermain saya tidak terlalu risau,” tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!