UPSI bantu pelajar sediakan menu RM3.50

Norkhalid (kiri) bersama pemilik kafe, Ade Idriani menunjukkan menu Keluarga Malaysia yang disediakan UPSI. - Foto ihsan UPSI
Norkhalid (kiri) bersama pemilik kafe, Ade Idriani menunjukkan menu Keluarga Malaysia yang disediakan UPSI. - Foto ihsan UPSI
A
A
A

IPOH - Sebanyak 23 kafeteria Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyediakan menu Keluarga Malaysia serendah RM3.50 untuk dimanfaatkan kepada lebih 14,000 pelajar daripada golongan B40.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, inisiatif Food Basket Siswa Malaysia itu menyediakan pelbagai makanan berkualiti pada harga rendah.

Menurutnya, pelajar kini boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran tanpa memikirkan perbelanjaan membeli makanan.

"Kami aktifkan 'UPSI Kami Prihatin' untuk bantu mereka yang datang daripada keluarga susah.

"Malah ada pensyarah dan kakitangan yang mengambil pelajar sebagai anak angkat bagi duit belanja dan membantu membiayai pengajian mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, penyediaan menu itu adalah usaha mencabar situasi kenaikan harga bahan mentah di pasaran.

Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama Norkhalid (kanan) meninjau beberapa kafeteria di Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah. - Foto ihsan UPSI
Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama Norkhalid (kanan) meninjau beberapa kafeteria di Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah. - Foto ihsan UPSI

"Usaha sinergi dilaksanakan secara menyeluruh bersama pengusaha kafetaria yang mana universiti akan menyelaraskan kerjasama perolehan bahan-bahan mentah secara pukal bagi membantu pengusaha gerai mendapatkannya dengan harga yang munasabah.

"Inisiatif ini juga penting bagi memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan berterusan dalam memberi manfaat kepada pelajar," katanya.

Jelas beliau, UPSI turut melaksanakan program agihan Dana Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia (YKS) bagi inisiatif food@campus kepada 150 pelajar berjumlah RM30,000.

"Foodbank Siswa UPSI juga menerima sumbangan daripada Sekretariat Foodbank Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan negeri dan UPSI berupa makanan kering.

"Program ini masih aktif melaksanakan agihan di lima lokasi Foodbank di sekitar kampus," katanya.

Norkhalid berkata, pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (Wezas) juga membantu pelajar asnaf melalui bantuan sara hidup, biasiswa dan bantuan sedekah kepada pelajar yang layak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!